Khidmat sanitasi bantu jana pendapatan anak muda

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

TELOK MAS 29 Jun – Meskipun kedai cuci kereta tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerak (PKP) 3.0, namun itu tidak melunturkan semangat anak muda untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan melakukan aktiviti perniagaan lain.

Menurut Ashwad Abd Rahim, 29, sebaik mengetahui perniagaan mencuci kereta miliknya tidak dibenarkan operasi, dia mula mencari alternatif lain untuk membantu lapan pekerjanya untuk menjana pendapatan tambahan.

Ashwad.

Lantaran itu katanya, dia sanggup mengeluarkan modal hampir RM30,000 bagi melatih pekerjanya untuk mempelajari kaedah sanitasi selain membeli kelengkapan untuk melakukan perkhidmatan itu.

“Saya risau tengok ramai di luar sana terjejas teruk kerana hilang punca pendapatan, jadi saya cuba pendekatan baharu termasuk mengajak pekerja saya mencuba bidang baharu.

“Alhamdulillah, penerimaan tempahan untuk sanitasi dari rumah ke rumah mendapat sambutan dan setakat ini, saya menerima lebih 80 buah rumah di setiap daerah di Melaka sejak PKP 3.0 lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, dia berkata selain melakukan perniagaan tambahan pada musim PKP 3.0,dia juga mengambil inisiatif membantu pelbagai organisasi termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (​JPKK) yang memerlukan khidmatnya.

“Sekiranya khidmat kami diperlukan untuk sanitasi di luar kawasan rumah, ia diberikan secara percuma namun sekiranya mereka mahu sanitasi dalam rumah, ada sedikit caj dikenakan,” katanya yang turut menerima tempatan sanitasi sehingga ke Asahan, Jasin.

MUHD MUSTAQIM

Sementara itu, Muhd Mustaqim Fadlah, 18, berkata dia buntu apabila memikirkan nasibnya yang bergantung kepada pendapatan harian di kedai cuci kereta tempatnya bekerja tetapi perniagaan itu tidak dibenarkan beroperasi.

“Tiga bulan juga duduk rumah tak buat apa, jadi, Alhamdulillah dengan menyertai program sanitasi itu, saya dapat meringankan beban keluarga untuk cari duit pendapatan.

“Pada masa sama, saya juga dapat membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19 dengan melakukan kerja amal selain menjana pendapatan.

“Bila dah pakai PPE (alat pelindung diri), baru kita rasa macam mana petugas barisan hadapan berjam-jam dengan ‘uniform’ mereka, penat dan panas tetapi sanggup berkorban untuk rakyat,” katanya.

ABDULLAH.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Padang Temu Indah, Abdullah Senin, 63, berkata, sebagai rakyat dia menyokong penuh program sanitasi dilaksanakan di setiap kawasan perumahan di negeri ini.

Jelasnya, program sanitasi itu sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan mengurangkan beban untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan komuniti.

“Kalau kita selalu dengar pepatah Melayu mengatakan mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Jadi saya sokong sepenuhnya program yang memberi manfaat kepada semua orang.

“Saya doakan supaya kerajaan negeri Melaka, rakyat semua Malaysia agar dapat hidup seperti sedia kala dan menghirup udara yang segar seperti mana sebelumnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

749
Kongsi :
Previous post RM150 juta percepatkan pemberian vaksin kepada pekerja industri
Next post Tiga hari terapung di laut, lima nelayan Indonesia diselamatkan TLDM
Ubah saiz-+=