KKM minta ibu hamil dapatkan vaksin, dos penggalak

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru semua wanita dan ibu hamil untuk mendapatkan vaksin COVID-19 termasuk dos penggalak kerana pengambilan vaksin terbukti dapat mengurangkan risiko komplikasi jika dijangkiti wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata memandangkan ibu hamil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

Beliau berkata berdasarkan rekod tahun ini sehingga 15 Feb, tiada kes kematian COVID-19 melibatkan ibu hamil.

“Sejak Mac 2020 hingga Januari 2022 sejumlah 18,277 kes COVID-19 dalam kalangan ibu hamil telah dilaporkan di Malaysia. Bilangan ini merupakan 0.64 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi jangkitan COVID-19 yang dilaporkan bagi tempoh sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tahun lepas bilangan kes membabitkan ibu hamil melonjak pada Julai hingga September dan mula menunjukkan trend penurunan pada Oktober hingga Januari 2022.

“Sejak pandemik ini mula melanda pada 2020, sejumlah 191 kes kematian ibu hamil telah direkodkan, dengan kesemua kematian dilaporkan berlaku pada 2021.

“Kemuncak bagi kematian ibu hamil akibat komplikasi jangkitan COVID-19 ialah pada 2021 iaitu pada Julai (31 kes), Ogos (77 kes) dan September (44 kes), namun kes kematian semakin menurun pada Oktober (12 kes) dan November (3 kes),” katanya.

Beliau juga berkata analisis data kematian menunjukkan 79 peratus daripada kes kematian tidak menerima vaksin manakala 83 peratus daripada kes kematian mempunyai komorbid.

“Salah satu faktor penyumbang utama kepada penurunan kes kematian ibu hamil akibat komplikasi COVID-19 ialah liputan vaksinasi yang tinggi iaitu 94.7 peratus dalam kalangan populasi dewasa.

“Berdasarkan pencapaian kempen ibunisasi, data sehingga akhir Oktober 2021 menunjukkan 94 peratus daripada ibu hamil yang mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan daripada jumlah tersebut 91 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19,” katanya.

Beliau juga memaklumkan ibu hamil yang masih belum menerima dos penggalak boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat atau klinik swasta terpilih bagi mendapatkan janji temu awal.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

234
Previous post PN tawar pelan pembangunan ekonomi majukan lagi Johor
Next post Program SULUNG unik fokus bantu pelajar B40 lanjut pelajaran ke menara gading – PM