KKM, SPR masih berbincang SOP PRU15 – Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PETALING JAYA, 28 Okt – Kementerian Kesihatan (KKM) masih dalam peringkat perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkembangan lanjut berhubung SOP tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Masih lagi (SOP PRU15) dalam perbincangan. SPR telah minta maklum balas dari KKM.

“Ada beberapa perkara yang SPR boleh buat, ada yang mungkin mereka sukar untuk buat. Jadi, KKM akan beri maklum balas dalam sehari dua ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Komanwel dan Luka Global Ke-4 (2022), di sini hari ini.

KKM sebelum ini telah mengesyorkan kepada SPR berhubung beberapa SOP PRU15 supaya ia diadakan dalam keadaan ‘’Pilihan raya selamat COVID-19′ dengan mengambil kira kepentingan orang ramai agar tidak dimudaratkan dengan kehadiran pesakit COVID-19.

Mengenai pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi Persidangan Komanwel dan Luka Global Ke-4 2022 itu, Khairy menyifatkan pemilihan itu sebagai pengiktirafan kepada Malaysia yang terpilih menerusi Mesyuarat Persatuan-persatuan Luka Sedunia.

Katanya, Malaysia turut terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Kongres Persatuan Penyembuhan Luka Sedunia 2026 menerusi bidaan yang diadakan di Abu Dhabi pada Mac lepas.

“Ini adalah pengiktirafan dan penghormatan besar kepada Malaysia apabila kita (Malaysia) dilihat sebagai antara negara peneraju dalam bidang penjagaan luka,” katanya.

Mengenai perkhidmatan rawatan dan penjagaan luka, Khairy berkata KKM akan menambah baik perkhimatan tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membolehkan setiap pesakit menerima rawatan sepatutnya termasuk individu yang terlantar di rumah.

“Untuk lima tahun akan datang, lebih banyak tumpuan akan diberikan terhadap perkhidmatan kesihatan khususnya di peringkat komuniti,” katanya dan menambah kerajaan memperuntukkan RM5 juta setiap tahun kepada fasiliti kesihatan kerajaan bagi memenuhi keperluan rawatan penjagaan luka.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1512
Kongsi :
Previous post Sebak sambut Deepavali dalam banjir
Next post Ajal tiga beranak dalam nahas jalan raya
Ubah saiz-+=