Sorting by

×

KLUSTER INDUSTRI WILAYAH TENGAH PEMANGKIN PERKEMBANGAN EKONOMI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR 11 November – Inisiatif membangunkan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah dijangka menjadi pemangkin kepada pengembangan perusahaan tempatan, ekonomi Melaka dan negeri berjiran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, Kluster Perindustrian Wilayah Tengah melibatkan Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelabur asing bertapak di negara ini.

Katanya, inisiatif dilaksanakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu adalah satu langkah strategik yang bakal memberikan manfaat kepada semua empat negeri yang terlibat.

“Dalam usaha pelebaran jajaran teknologi ini semua boleh menyumbang kepada pembangunan lebih strategik, kesalinghubungan antara keempat-empat negeri ini menjadikan kita sebagai satu pasukan hebat dalam memajukan lagi sektor perindustrian.

“Seminar ini membuka potensi lebih luas kepada empat negeri ini sebagai hab industri serantau. Melaka juga memanfaatkan seminar dua hari ini untuk bertemu dengan ramai pemimpin industri tempatan dan antarabangsa, seterusnya melihat koordinasi boleh digerakkan di Wilayah Tengah,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Pelaburan Utama: Inisiatif Pembangunan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah disempurnakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Majlis sama turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Yang turut hadir Timbalan Exco Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Pelaksanaan inisiatif itu bertujuan untuk memperkukuh ekosistem negara melibatkan rantaian bekalan dan menyokong perkembangan perusahaan tempatan dengan negeri di Wilayah Tengah diperkasakan kerana sudah memiliki jaringan pembekal, logistik, makmal pengujian, institusi pengajian tinggi serta rakan inovasi.

Inisiatif itu dimulakan dengan tiga sektor iaitu elektrikal dan elektronik (E&E) yang menjadi tonggak perindustrian negara serta mampu berkembang di Wilayah Tengah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post EMPAT FOKUS JADIKAN MELAKA NEGERI PINTAR BERPACUKAN DATA
Next post MELAKA BUKA PELUANG RAKYAT USAHAKAN TANAH TERBIAR UNTUK TANAMAN NANAS