Sorting by

×

KOMITMEN MELAKA PERKASA INOVASI

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TABOH NANING 25 September – Penganjuran Hari Inovasi Melaka 2025 menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri memperkasa ekosistem penyelidikan dan inovasi.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program tersebut mendapat sambutan luar biasa apabila menerima penyertaan 145 kumpulan dengan 395 peserta daripada pelbagai peringkat termasuk pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta agensi kerajaan.

Kata beliau, Hari Inovasi Negeri Melaka 2025 itu turut menjadi pembuka tirai kepada siri Festival of Ideas (FOI) peringkat negeri sepanjang Oktober sebelum kemuncak FOI di Putrajaya pada 4 hingga 8 November depan.

“Kejayaan menganjurkan Hari Inovasi Negeri Melaka 2025 ini membuktikan usaha berterusan Melaka untuk memperkukuh daya saing berteraskan ilmu, kreativiti dan teknologi.

“Bertemakan ‘Menjana Solusi Inovatif ke Arah Komuniti Sejahtera’, penganjuran kali kedua itu tampil dengan kelainan berbanding edisi 2024, menerusi penganjuran lima aktiviti bengkel dalam bidang alam sekitar, bioproses, makanan, proses kimia dan polimer.

“Manakala, sebanyak sembilan bidang inovasi dipertandingkan antaranya teknologi alam sekitar, makanan dan pengurusan bencana, pembuatan, automotif, elektrik dan elektronik, teknologi digital, peranti perubatan serta inovasi sains sosial, dinilai oleh panel juri profesional dari agensi dan institusi pendidikan dalam serta luar Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Inovasi Negeri Melaka 2025 di Dewan Lestari di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MICET, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Melaka, Shah Zulmizan Safar; Timbalan Presiden Akademik dan Teknologi UniKL, Prof. Dr. Kushairy Abdul Kadir serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, walaupun Melaka sebuah negeri kecil, namun negeri ini telah menunjukkan daya saing cukup hebat berteraskan kreativiti dan inovasi.

“Menerusi penganjuran ini kita mahu terus unggul sebagai negeri bersejarah yang kaya warisan serta berdaya maju dalam penerapan teknologi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

446
Kongsi :
Previous post UTEM, UNIVERSITI KINDAI BANGUNKAN SISTEM PENGURUSAN BANJIR
Next post WTD 2025, PELANCARAN VM 2026 MERCU TANDA KESEPADUAN NILAI BUDAYA LOKAL, FASILITI BERTARAF GLOBAL