
KOMUNITI KAMPUNG MORTEN DAN PANTAI PERINGGIT TERIMA MANFAAT PELAKSANAAN PTK
BANDARAYA MELAKA 11 Julai – Pemilihan Kampung Morten dan Pantai Peringgit sebagai dua lokaliti utama bagi pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti (PTK) menerusi ‘Program Resilience for Communities’ (R4C) adalah hasil penilaian teliti terhadap tahap penglibatan aktif penduduk setempat.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, ketiga-tiga komuniti terlibat iaitu Kampung Morten bersama dua kawasan perumahan di Pantai Peringgit iaitu Rumah Awam Peringgit dan Rumah Pangsa Pantai Peringgit, dikenal pasti sangat responsif serta terbuka terhadap inisiatif pembangunan lestari.
Katanya, antara kriteria utama pemilihan lokasi adalah kesediaan komuniti kerana jika tiada sokongan penduduk perjalanan projek boleh terbantut.
“Namun di dua lokaliti itu penglibatan penduduk amat memberangsangkan. Proses penyediaan PTK melibatkan pelbagai sesi libat urus seperti temu bual, perbincangan kumpulan fokus (FGD) dan lawatan tapak bagi mengenal pasti isu utama khususnya banjir serta fenomena haba bandar kemudian disusuli dengan intervensi yang sesuai.
“Antara tindakan awal akan dilaksanakan termasuk mengecat rumah pangsa Pantai Peringgit menggunakan cat pemantul haba, serta pembangunan taman mini atau ‘pocket park’ di Kampung Morten di atas tanah milik MBMB.
“Penduduk sendiri menyuarakan keperluan ruang sosial. Jadi kami ambil pendekatan transformasi tanah terbiar menjadi taman kecil yang boleh digunakan oleh komuniti,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran PTK yang disempurnakan oleh Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Shadan berkata program yang disokong Zurich Foundation dan Zurich Malaysia itu sepatutnya mempunyai tempoh pelaksanaan selama tiga tahun dan ketika ini kajian itu sudah memasuki tahun kedua.
Jelasnya, fasa pelaksanaan projek itu berbaki setahun setengah lagi untuk dijalankan, selain intervensi fizikal, program kesedaran turut dirancang untuk mendidik penduduk mengenai risiko strok haba dan banjir serta langkah pencegahan awal.
“Ramai tidak sedar kesan sebenar akibat terdedah kepada suhu panas melampau, kita akan jalankan program kesedaran agar komuniti lebih bersedia menghadapi situasi ekstrem.
“Program R4C bukan sahaja merangkumi pelan jangka panjang tetapi juga tindakan segera (quick win actions) yang memberi impak terus kepada kesejahteraan komuniti dan persekitaran setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.