KPKT bangunkan sistem integrasi data urus rumah mampu milik

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PUTRAJAYA, 12 Sept – Satu sistem yang mengumpulkan data keseluruhan rumah mampu milik (RMM) sedang dibangunkan untuk pengurusan RMM yang lebih adil dan dapat memenuhi permintaan serta keperluan kumpulan sasar.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sistem yang akan dibangunkan oleh Bahagian Pengurusan Perumahan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, akan melibatkan integrasi data RMM yang dibina pihak swasta dan kerajaan negeri.

“Isu perumahan rumah mampu milik perlu ada usaha bersepadu kerana kalau tidak kita hanya letak sasaran berapa rumah mampu milik dibina, tetapi sampai satu tahap ia tidak akan pernah mencukupi sebab mungkin ada beberapa kelompongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Persidangan Presiden Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) 2023 di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata usaha itu juga selari dengan peraturan mengehadkan pembelian hanya satu RMM bagi setiap warganegara layak yang akan dikuatkuasakan dalam usaha memastikan bekalan RMM yang mencukupi.

Menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi semalam, pangkalan data perumahan akan dibangunkan bagi membolehkan saringan silang maklumat pemilikan dengan agensi berkaitan yang lebih tepat dibuat untuk menentukan kelayakan pemilikan.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Akmal Nasrullah berkata bagi tahun ini hingga 31 Ogos lepas, TPPS telah menyelesaikan 7,378 kes membabitkan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan Tribunal Pengurusan Strata (TPS).

Katanya bagi 2022, sebanyak 12,006 diselesaikan termasuk semua kes tertunggak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

“Sukacita dimaklumkan setakat ini kes tertunggak yang masih dalam tindakan TPPS hanya kes yang didaftarkan pada 2022 iaitu sebanyak lima kes,” katanya.

TPPS terbahagi kepada dua kategori iaitu TTPR dan TPS yang berfungsi sebagai forum alternatif untuk menyelesaikan pertikaian mengenai perumahan antara pembeli rumah dengan pemaju perumahan serta hal berkaitan pengurusan strata secara mudah, murah dan cepat.

Turut dilancarkan sistem TPS dalam talian iaitu e-TPS yang membolehkan orang ramai melakukan pendaftaran kes dan pembayaran secara elektronik bermula bulan ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

958
Kongsi :
Previous post Kumpul duit, hias bot dengan Jalur Gemilang
Next post Saran hantar anak OKU ke PPDK , bela masa depan
Ubah saiz-+=