KPM lanjut pengecualian sewaan kantin – Radzi
KOTA BHARU, 9 Jan – Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata lanjutan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi, mesin minuman air (vending machine) di sekolah di bawah KPM.
“Kita terima banyak permohonan pengusaha kantin sebelum ini yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin.
“Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada dalam sekitar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini hari ini.
Terdahulu, Radzi mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi Penggal 3, 2021/2022.
Pada Julai tahun lepas, KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.
Sementara itu, ditanya mengenai sama ada tempoh kaedah penggiliran akan diteruskan, Radzi berkata pendekatan yang diambil KPM adalah secara progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan.
“Kalau boleh kami di KPM tidak mahu ada kaedah penggiliran tetapi memandangkan situasi semasa penularan COVID-19 termasuk varian Omicron, kami berpandangan kaedah ini perlu diteliti terlebih dahulu dari semasa ke semasa,” katanya.
Radzi turut menegaskan sekali lagi kepada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya hadir ke sekolah supaya memaklumkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.
“KPM bersifat terbuka sekiranya terdapat murid-murid yang tidak dapat hadir ke sekolah tetapi perlu mempunyai alasan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.
“Ini adalah untuk memudahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit,” katanya.
Seramai 1.18 juta murid bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan hari ini bagi penggal ketiga, 2021/2022. Bagaimanapun, 31 sekolah di Johor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir tidak akan dibuka.
Bagi sekolah di negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mula dibuka esok, 10 Jan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.