Krisis Myanmar: 200 rakyat Malaysia terkandas di tengah lautan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Kira-kira 200 rakyat Malaysia yang bekerja di pelantar minyak Yetagun di Laut Andaman, perairan Myanmar dilaporkan terkandas di tengah lautan ekoran krisis rampasan kuasa tentera di negara itu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, semua pekerja itu terputus hubungan dengan daratan sejak Isnin lalu, dan kini berdepan risiko kehabisan bekalan makanan dan bahan api.

Seorang pekerja di pelantar minyak milik Petronas itu dilaporkan berkata, semua mereka kini tinggal di dalam sebuah kapal induk dengan bekalan makanan dan bahan api yang hanya dapat bertahan sehingga 10 atau 11 Februari ini.

Selain itu, dia yang sudah empat bulan bertugas di pelantar itu berkata, semua pekerja terbabit juga sehingga kini, masih belum mendengar sebarang khabar daripada majikan dan Kedutaan Malaysia di Yangon.

“Ada kawan-kawan yang sudah dihantar ke darat, tetapi tidak ada khabar berita daripada mereka. Kami juga tidak dapat hubungi kedutaan,” katanya seperti dipetik akhbar berkenaan.

Menurutnya, masalah yang dihadapi mereka ialah perkhidmatan helikopter antara pelantar minyak itu dengan Dawei di daratan, kini telah terhenti kerana dipercayai dikawal tentera Junta.

Pekerja itu berkata, sehari selepas rampasan kuasa, mereka diarah menghentikan semua kerja, namun kerja itu disambung seperti biasa keesokannya dan sehingga kini, mereka tetap menjalankan tugas harian walaupun bimbang dengan keselamatan diri.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan jurucakap Petronas sudah mengambil maklum mengenai masalah berkenaan dan sedang meneliti perkara itu sebelum mengemas kini laporan dalam masa terdekat.

Views:

585
Kongsi :
Previous post Dah beri peluang berniaga, buat kotor pula: MPHTJ
Next post Sesi persekolahan bersemuka bagi calon SPM, SVM tamat lusa
Ubah saiz-+=