
KUM, NKS DEVELOPMENT METERAI MOU PERKASA PEMBANGUNAN UTILITI TERANCANG
AYER KEROH 26 September – Koridor Utiliti Melaka (KUM) Sdn. Bhd. dan NKS Development Sdn. Bhd. menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan pembangunan infrastruktur utiliti di negeri ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, jalinan kerjasama strategik KUM Sdn. Bhd. selaku agensi penyelaras dan pelaksana infrastruktur utiliti di negeri ini dengan pihak pemaju adalah amat penting bagi memudahkan pembangunan infrastruktur utiliti lebih terancang, sistematik dan tersusun.
“Menerusi pemeteraian MoU ini, KUM Sdn Bhd bergerak selangkah ke hadapan apabila termeterainya kerjasama strategik bersama NKS Development Sdn Bhd.
“Jalinan kerjasama ini akan memudahkan beberapa jenis urusan terutamanya membabitkan perkara teknikal dan selepas ini pasti lebih banyak syarikat pemaju akan bekerjasama dengan KUM Sdn Bhd selaku agensi penyelaras dan pelaksana infrastruktur utiliti di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU di antara KUM Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismael Hamdan dan NKS Development Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Ngoh Chun How di Bilik Mesyuarat Utama di Menara MITC, di sini, semalam.
Menurut Rais, di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), peranan KUM Sdn. Bhd. dilihat dapat memudahkan segala urusan berkaitan dengan pihak pemaju.
“Jadi di peringkat PBT, segala urusan akan lebih mudah apabila KUM Sdn. Bhd. akan bersama-sama dengan pihak pemaju dari segi melaksanakan infrastruktur utiliti bagi setiap projek pembangunan yang dilaksanakan.
“Saya berharap selepas ini lebih banyak pihak pemaju akan bekerjasama dengan KUM Sdn. Bhd. bagi memudahkan segala urusan berkaitan utiliti,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.