
KUNJUNGI MEMORIAL HAYATI PERJUANGAN TOKOH KEMERDEKAAN
BANDA HILIR 21 Februari – Orang ramai digalakkan mengunjungi Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir bagi menghayati sendiri sejarah dan perjuangan tokoh negara dalam membina kemerdekaan serta kedaulatan tanah air.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, lawatan ke lokasi bersejarah itu mampu menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Katanya, selain Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka turut mempunyai satu lagi memorial istimewa iaitu Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit yang perlu dikunjungi.
“Perpaduan tidak boleh dibina tanpa kefahaman sejarah, manakala sejarah pula tidak bermakna sekiranya tidak diterjemahkan dalam nilai serta amalan kehidupan seharian rakyat.
“Berkunjung ke memorial-memorial ini sedikit sebanyak dapat memperkukuh jati diri khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jejak 20 Februari 1956: Perjuangan dan Pengorbanan Rakyat Menggapai Kemerdekaan Negara Bangsa di Masjid Selat Melaka, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Perpaduan Negara Datuk Mohamad Azhan Md Amir dan Ketua Pengarah Arkib Negara Zaidin Mohd Noor.
Dalam pada itu, Mohamad Sobri berkata penganjuran Program Jejak 20 Februari 1956 mencerminkan sinergi strategik antara sejarah dan perpaduan, selaras aspirasi Kementerian Perpaduan dalam menyemai kesedaran kebangsaan serta memperkukuh identiti negara bangsa.
“Program ini juga merupakan antara inisiatif di bawah Kluster Warisan MADANI menerusi Arkib Komuniti yang memartabatkan khazanah budaya dan identiti negara.
“Menerusi program ini juga dapat menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bagi menyemarakkan semangat cintakan negara serta memperkukuh perpaduan nasional,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


