Kurang bilik darjah punca sekolah ‘padat’ – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PAYA RUMPUT 21 Mac – Kekurangan bilik darjah menjadi antara punca kepadatan murid di sebahagian sekolah rendah di Melaka.

EXCO Pendidikan Negeri Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu berlaku disebabkan berlakunya peningkatan murid Tahun 1 yang baru sahaja memulakan sesi persekolahan tahun ini.

Malah, beliau memaklumkan ada terdapat sekolah rendah yang terpaksa menempatkan sehingga 39 murid secara purata dalam satu bilik darjah.

Beliau berkata, hal itu dianggap cukup membimbangkan memandangkan kes jangkitan COVID-19 masih tinggi dalam negara yang mana ia dikhuatiri akan menyukarkan murid mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal.

“Itu baru data di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, saya yakin dan percaya ada dalam kalangan 238 buah sekolah rendah dan 77 sekolah menengah seluruh Melaka juga ada menghadapi masalah yang sama (kepadatan murid).

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah dimaklumkan masalah ini, malah saya dalam usaha bertemu dengan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagi menyuarakan kebimbangkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan 2022/2023 di SK Paya Rumput, di sini, hari ini.

Rais yang EXCO Teknologi Negeri berkata, beliau masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka mengenai bilangan sekolah yang menghadapi masalah sama.

“Saya dah minta pihak JPN dan guru-guru sekolah terlibat menyiapkan laporan dan insya-Allah mungkin dalam minggu ini boleh siap sebelum saya bentangkan isu ini kepada menteri.

“Kita akan cuba bantu sebaik mungkin demi keselesaan dan keselamatan anak-anak kita menjelang fasa endemik bermula 1 April ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1116
Kongsi :
Previous post Pemandu Toyota Hilux ditahan bantu siasatan kes buli jalan raya
Next post Lebih 1.2 juta kanak-kanak di Malaysia terima vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=