ismail sabri7

Kutipan hasil kerajaan catat peningkatan 8.9 peratus – PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Kutipan hasil kerajaan Persekutuan mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus kepada RM210.4 bilion manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9 peratus kepada RM307.6 bilion sehingga November 2021, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bermesyuarat hari ini berpandangan bahawa semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dapat dicapai dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan ini.

“Berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK,” katanya dalam satu kenyataan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat FPC ke-3 itu, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidin @ Hamidon dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Ismail Sabri berkata, inisiatif pembaharuan institusi terutamanya pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan langkah dasar utama dalam menyokong usaha ini.

Perancangan fiskal dalam jangka sederhana, Inisiatif pembaharuan fiskal

Menurutnya, dalam jangka sederhana kerajaan kekal komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) iaitu 3.5 peratus berbanding KDNK pada 2025.

“Ke arah ini, Jawatankuasa telah meneliti beberapa cadangan yang akan menambah baik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Perdana Menteri berkata, agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif di bawah RMKe-12 (RMKe-12) dan kesemua usaha ini bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

“Secara keseluruhannya, usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan, di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan Kerajaan,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

31
240422271_4245584892185106_7063633839425022366_n (1) Previous post CUEPACS mohon kerajaan kaji semula elaun anggota bomba
MUSTAPA Next post Ekonomi Malaysia dijangka pulih 2022 – Mustapa