‘Lahabau Melaka’, satu penghinaan buat orang Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

MELAKA 8 Nov – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menempelak tindakan biadap Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam satu poster kempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, perkataan ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’ yang dimuat naik wakil DAP itu disifatkan sebagai satu penghinaan kepada rakyat negeri ini.

Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, perkataan ‘lahabau’ adalah kata makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap dan haprak mengikut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Benar perkataan ‘lahabau’ memang sering digunakan sebagai dialog dalam perbualan harian, tapi ia hanya digunakan dalam konteks rakan karib dan gurauan sesama sendiri.

“Namun bagi orang luar atau orang yang tidak dikenali adalah sangat tidak molek untuk mengunakan perkataan seperti itu kerana ia merupakan penghinaan dan cacian,” katanya seperti dipetik UMNO-Online.

Justeru, beliau yang juga calon Barisan Nasional di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang menyeru pengundi negeri ini agar menolak kempen yang tidak melambangkan adab itu.

“Saya menyeru seluruh rakyat Melaka khususnya pengundi agar menolak kempen biadap dan kurang ajar seperti ini kerana ia secara tidak langsung memperlekehkan rakyat Melaka yang terkenal dengan sikap budi bahasa dan adab yang tinggi,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1342
Kongsi :
Previous post Calon termuda PRN Melaka sedia berkhidmat untuk rakyat
Next post Ketua Pemuda UMNO Tampin meninggal dunia
Ubah saiz-+=