
LAHIR PEWARIS KEJAYAAN MASJID TANAH
LENDU 21 Disember – Penganjuran Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita menjadi satu manifestasi oleh Kerajaan Negeri dalam menghargai seluruh anak-anak dan seluruh warga Masjid Tanah yang menjadi antara watak penting dalam pembinaan negara bangsa.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia dapat dilihat apabila ramai anak-anak Masjid Tanah telah berjaya dalam pelbagai bidang diceburi, termasuklah dalam kerjaya profesional, pendidikan, keagamaan, sukan dan lain-lain.
Menurut beliau, sebagai sebuah kampung yang diwujudkan selepas merdeka, ramai tokoh-tokoh berjaya dilahirkan dari Masjid Tanah hingga berjaya mewarnai lakaran pembangunan negara.
“Oleh sebab itu, kita mengangkat beberapa nama ini sebagai tokoh Masjid Tanah, di mana, mereka ini boleh menjadi inspirasi kepada anak muda dan kisah kejayaan itu seterusnya dapat diwarisi untuk generasi berikutnya.
“Jadi, selain menyemai semangat kekitaan dan silaturahim, jelaslah karnival ini membawa makna cukup besar kepada seluruh warga Masjid Tanah, di mana hasrat utama kita adalah mahu semua yang lahir di kampung ini bangga menjadi anak Masjid Tanah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita di Taman Rekreasi Bukit Beringin, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Adun Ayer Limau merangkap Pengerusi Program Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Adun Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dan Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; serta lain-lain kenamaan.
Pada majlis itu, Ab Rauf telah menyampaikan anugerah kepada enam tokoh yang merupakan anak jati Masjid Tanah yang telah berjaya dalam pelbagai bidang.
Tokoh Keusahawanan dianugerahkan kepada Pengarah Hospital Pakar SALAM Datuk Ir Zainal Bachik; Tokoh Belia dan Sukan Mohd Asri Ninggal; Tokoh OKU Prof. Ts. Dr. Zaidi
Embong serta Tokoh Agama dan Kemasyarakatan kepada Datuk Mohd Nizam Yahya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd Datuk Azmar Talib pula dianugerahkan Tokoh Akademik dan Profesional manakala bekas Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Seri Abu Seman Yusop pula menerima Anugerah Khas.
Menurut Ab Rauf, selain pelbagai kisah kejayaan anak jatinya, Masjid Tanah juga turut menjadi perintis kepada Kampung Digital iaitu program mentransformasi alamat kampung dengan kaedah digital yang pertama dalam negara.
Jelas beliau, oleh sebab itu, Masjid Tanah bakal menjadi rujukan seluruh negara dalam kaedah demografi alamat baharu dalam dunia digital masa kini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


