Lapan fokus pembangunan ekonomi Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 2 Ogos – Dalam memastikan ekonomi Melaka terus berkembang secara mampan, sebanyak lapan fokus telah digariskan Kerajaan Negeri untuk diberi perhatian.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, fokus pertama ialah membangunkan Melaka sebagai pusat kecemerlangan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut beliau, di Melaka terdapat 23 buah institusi awam TVET merangkumi politeknik, kolej, institut latihan perindustrain, pusat latihan dan universiti awam.

Katanya, dalam memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), institusi TVET di negeri ini boleh membangunkan makmal bertaraf industru dengan mempraktikkan elemen pembelajaran berterusan, sekali gus membantu pelajar menguasai teknologi.

Menurut Ab Rauf, fokus kedua pula ialah memperkasa sektor pelancongan melalui Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Jelas beliau, TMM2024 bukan hanya memfokuskan kepada pelancongan semata-mata, bahkan turut merangkumi kesihatan, pendidikan, perindusrian dan pelaburan, keagamaan serta seni, budaya dan warisan.

Oleh itu, katanya, pelbagai program-program menarik telah dirangka dalam mencapai sasaran 15 hingga 18.7 juta pelancong tahun depan.

“Fokus ketiga pula ialah menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur (Pro-business) dengan memberikan enam tumpuan bagi merancakkan sektor pelaburan Negeri Melaka.

“Enam tumpuan itu ialah menggalakkan penyertaan pihak swasta menerima pelaburan berkualiti; mengutamakan bidang sedia ada dan pertumbuhan baharu yang memiliki nilai tambah tinggi; mensasarkan kawasan perindustrian baharu dan membangunkan Taman Teknologi Jerman (GIP).

“Selain itu, tumpuan juga diberi kepada membangunkan Pelan Induk Perindustrian Negeri Melaka (Melaka Industrial Master Plan); memudahkan urusan berkaitan pelaburan; perkukuh latihan TVET dan penyediaan penginapan pekerja berpusat yang kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan gulung penangguhan sempena Persidangan Kedua, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan fokus keempat Kerajaan Negeri ialah menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dan berkesan.

Ia jelasnya, termasuklah dalam menyediakan penambahan bilangan bas serta laluan untuk kemudahan serta kebolehcapaian penduduk negeri ini.

Fokus kelima pula, Ab Rauf menekan tentang menyegerakan pendigital 4G dan 5G dengan meletak sasaran akses gentian optik dan liputan jalur lebar diperluas kepada 100 peratus menjelang akhir 2025.

“Keenam, Kerajaan Negeri memberikan fokus dalam meningkatkan prestasi anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).

“Manakala, fokus ketujuh ialah memperkasa inisiatif-inisiatif di bawah pentadbiran saya sebagai Ketua Menteri Melaka termasuklah bacaan surah Al-Fatihah setiap kali memulakan mesyuarat, memperdengar nyanyian lagu Negaraku dan Melakaku Maju Jaya pada jam 10 pagi setiap Isnin dan lain-lain,” katanya.

Ab Rauf berkata, fokus terakhir ialah membudayakan seni, warisan dan budaya Negeri Melaka.

Kata beliau, sebagai negeri yang kata dengan warisan seni dan budaya, Kerajaan Negeri bercadang menyajikan pantun-pantun warisan menghiasi koridor dan pintu masuk ke Melaka.

Selain itu, sebanyak 701 buah kampung dan 1,021 taman perumahan di seluruh Melaka juga akan dihias dengan peletakan mercu dan papan tanda pantun warisan bagi menggamit pengunjung datang ke Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1409
Kongsi :
Previous post Yakin capai sasaran 5,400 individu jalani saringan kanser
Next post Peruntuk lebih RM15 juta baiki masjid, surau
Ubah saiz-+=