Lapan inisiatif bantu pendidikan anak tentera

Masa Membaca:3 Minit, 27 Saat

SUNGAI UDANG 28 September – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus komited untuk menambah baik inisiatif pendidikan bagi membantu anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran ATM serta ahli keluarga mereka.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, untuk tujuan itu, sebanyak lapan inisiatif pendidikan disediakan dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Katanya, inisiatif pertama disediakan ialah Program Dermasiswa Premium yang memberikan RM5,000 secara one-off kepada anak warga ATM dan veteran ATM yang berjaya mendapat tawaran bagi melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti berada di ranking 100 terbaik dunia.

Selain itu, katanya, turut disediakan ialah Skim Penabungan Anak-anak ATM Rukun Kelima (SPARK) yang melibatkan Yayasan LTAT dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji dan Jabatan Arah Pendidikan ATM.

Menurutnya, skim itu bertujuan membantu lebih 13,500 anak anggota ATM yang bersekolah di Sekolah Dalam Kem (SDK) membuka akaun simpanan secara percuma di Tabung Haji dengan Yayasan LTAT akan menyumbang RM50 setiap seorang sebagai dana permulaan untuk pembukaan akaun dengan kos keseluruhan RM675,000.00.

“Seterusnya, MINDEF turut menyediakan program Sentuhan Elite SPM yang bertujuan membantu anak-anak anggota ATM di SDK yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkatkan tahap penguasaan dan pencapaian akademik terutama mata pelajaran teras.

“Program itu akan melibatkan kolaborasi antara guru-guru pakar serta cemerlang daripada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang berpengalaman luas dengan peruntukan berjumlah RM150,000.

“Insentif keempat ialah Program Train and Place yang mendapat jalinan kerjasama Yayasan Peneraju, dilaksanakan khusus untuk anak-anak warga ATM dan veteran yang mempunyai kecenderungan dalam bidang berkemahiran terutamanya dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

“Menerusi program ini, beberapa pihak industri akan berkolaborasi sebagai training provider bagi penajaan kursus-kursus yang mempunyai padanan kerja dengan industri berkaitan. Pihak industri akan melatih pelajar ini seterusnya wajib menawarkan tempat untuk pelatih-pelatih terus bekerja apabila tamat latihan di syarikat mereka,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke MRSM Kem Terendak di sini, hari ini.

photo1664347226
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein beramah mesra bersama pelajar ketika mengadakan lawatan ke MRSM Terendak, Kem Terendak Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zin; Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, inisiatif kelima ialah Program Penajaan Asasi Sastera Bersama UNIRAZAK bagi membolehkan 2,500 anak warga MINDEF, ATM dan veteran ATM mengikuti pengajian percuma di peringkat Asasi Sastera.

Selain itu, katanya, turut disediakan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM yang memberikan insentif RM1,500 kepada anak warga ATM yang cemerlang dalam SPM.

“Seterusnya, MINDEF turut menyediakan inisiatif Bantuan Kemasukan Ke IPTA dengan peringkat permulaan, seramai 64 anak warga ATM terpilih menerima insentif RM1,000 atas keputusan cemerlang yang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Inisiatif terakhir ialah pemberian komputer riba yang diberikan kepada 150 orang anak warga ATM, anak warga awam MINDEF dan anak veteran yang telah mendapat tawaran pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA sesi akademik 2021/2022 dengan kos keseluruhan berjumlah RM450,000,” katanya.

photo1664346590
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berucap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke MRSM Terendak, Kem Terendak Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Hishammuddin, kesemua perancangan itu membuktikan MINDEF dan ATM amat serius bukan sahaja untuk membantu anak-anak warga pertahanan mendapat perkhidmatan pendidikan yang berkualiti tetapi lebih penting memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak warga pertahanan terus berkesinambungan.

Katanya, MINDEF dan ATM akan terus duduk semeja dengan para pemegang taruh supaya banyak lagi idea serta pandangan untuk menambah baik insiatif pendidikan ATM dapat diperhalusi bersama seterusnya dilaksanakan pada masa hadapan.

Sementara itu, pada lawatan itu juga Hishammuddin telah menyempurnakan simbolik penyerahan kunci Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Taming Sari.

Beliau juga hadir ke upacara penutup Army Endurance Challenge (AEC) di Lapang Sasar 400 Kem Terendak.

Terdahulu, beliau turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2896
Kongsi :
Previous post Majikan diwajibkan tunggu ketibaan pekerja asing baharu di KLIA
Next post Bekalan telur seluruh negara cukup
Ubah saiz-+=