
LAPAN MASJID DI DUN ASAHAN MILIKI VAN JENAZAH
ASAHAN 24 Disember – Keperluan kemudahan van jenazah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan kini hampir sempurna apabila lapan daripada sembilan buah masjid telah memiliki kenderaan tersebut bagi kegunaan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penyerahan sebuah van jenazah kepada Masjid Nurul Huda menjadikan hanya sebuah masjid sahaja iaitu Masjid Al-Munzirin, Kampung Jus yang masih belum mempunyai kemudahan berkenaan.
Menurutnya, van jenazah itu disumbangkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut menyaksikan sumbangan RM10,000 bagi penajaan pakaian sekolah kepada 100 orang anak-anak di DUN Asahan.
“Selain itu, Telekom Malaysia (TM) juga turut bersama dengan menyampaikan sumbangan zakat wakalah kepada 80 orang asnaf di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah Sumbangan TNB dan Majlis Sumbangan Zakat Asnaf TM di Masjid Nurul Huda, di sini, pada Sabtu.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, usaha menyediakan van jenazah di setiap masjid dalam DUN Asahan telah digerakkan melalui kutipan wakaf sejak dua tahun lalu.
“Alhamdulillah, hasil sumbangan syarikat-syarikat persendirian serta kutipan orang kampung melalui wakil setiap masjid, kita berjaya melengkapkan lapan buah van jenazah setakat ini.
“Bagi melengkapkan sebuah lagi van jenazah untuk masjid di Kampung Jus, kita masih memerlukan kira-kira RM50,000 hingga RM60,000 lagi daripada jumlah keseluruhan RM120,000.
“Setakat ini, akaun wakaf telah mengumpul lebih kurang RM60,000. Kita berharap akan ada lebih banyak syarikat persendirian tampil membantu bagi merealisasikan keperluan terakhir ini,” katanya.
Tambah beliau, kos penyediaan van jenazah boleh dikurangkan sekiranya menggunakan kenderaan sedia ada seperti yang dilaksanakan TNB, dengan perbelanjaan sekitar RM40,000 berbanding RM120,000 bagi pembelian van baharu.
“Insya-Allah, kita sasarkan baki satu van jenazah ini dapat diselesaikan dalam tahun hadapan demi keselesaan dan kebajikan penduduk DUN Asahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


