
LAPOR SEGERA JIKA RUMAH ALAMI KEROSAKAN, KERAJAAN MELAKA SEDIA BANTU
SUNGAI RAMBAI 8 Julai – Penduduk yang berdepan masalah kerosakan rumah diminta supaya tidak menangguhkan laporan kepada pihak berwajib bagi membolehkan tindakan segera diambil sebelum keadaan menjadi lebih serius dan menjejaskan keselamatan penghuni.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Rais Yasin berkata, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa komited membantu rakyat yang memerlukan, khususnya membabitkan isu perumahan.
Menurut beliau, pemilik rumah yang mengalami masalah seperti kebocoran bumbung, kerosakan struktur atau kerosakan lain tidak seharusnya menunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk sebelum mendapatkan bantuan.
“Insya-Allah, kita akan terus membantu dari semasa ke semasa, di mana LPM dan pelbagai agensi sentiasa cakna terhadap kebajikan rakyat.
“Jadi, maklumkan segera kepada pihak Japerun atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan masing-masing sekiranya berdepan sebarang masalah berkaitan perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program MPJ Prihatin: Menyantuni Penerima Program Baik Pulih Kediaman (PPKB) bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita DUN Sungai Rambai di Kampung Sebatu, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd. Azis; Pegawai Daerah Jasin, Rahizi Ranom; serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Muhammad Zahiruddin Mohd. Zahari.
Mengulas lanjut, Rais berkata setiap pengerusi JPKK perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai penghubung antara rakyat dan Kerajaan Negeri dengan menyalurkan maklumat berkaitan kediaman yang memerlukan bantuan kepada LPM.
Katanya, kerjasama erat antara JPKK, Japerun dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan kadar segera demi kebajikan rakyat yang memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

