
LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONGKITA CETUS FENOMENA LUAR BIASA
DUYONG 21 Disember – Larian Budaya Antarabangsa Duyongkita 2025 mencetus fenomena luar biasa apabila merekodkan penyertaan lebih 20,000 orang.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganjuran larian edisi ketiga itu turut merekodkan 2,000 penyertaan antarabangsa.
“Sambutan tahun ini amat mmberangsangkan berbanding penganjuran tahun sebelum apabila edisi kali ini merekodkan 20,000 penyertaan berbanding edisi lalu hanya 10,000 sahaja.
“Tahniah kepada Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong atas cetusan idea ini.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri kami amat mengalu-alukan sekiranya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Japerun ada program sebegini yang boleh diangkat untuk dijadikan program pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Larian Budaya Antarabangsa Duyongkita 2025 di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, hari ini.
Hadir sama, Adun Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.
Menurut Abdul Razak, pertambahan peruntukan sejumlah RM150,000 dicadangkan disalurkan bagi penganjuran Larian Budaya Antarabangsa Duyongkita pada tahun hadapan.
“Memandangkan sambutan dan penyertaan yang begitu hebat sekali pada tahun ini dengan 20,000 penyertaan saya cadangkan untuk menaikkan peruntukan pada tahun hadapan.
“Kita akan angkat kepada Kerajaan Negeri jika sebelum ini peruntukan diberikan RM150,000 untuk 10,000 penyertaan tetapi dengan lebih 20,000 Kali saya cadangkan untuk memberi peruntukan RM300,000,” katanya.
Jelasnya, dengan pertambahan peruntukan itu akan lebih banyak acara sampingan dapat dilaksanakan pada penganjuran Larian Budaya Antarabangsa Duyongkita edisi akan datang sempena Tahun Melawat Melaka 2.0.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


