
LEBIH 3,000 SANTAI MALAM MINGGU DI DATARAN KERIS
REMBIA 10 Ogos – Lebih 3,000 warga sekitar Alor Gajah memeriahkan Car Free Zone @ Santai Malam Minggu di Dataran Keris, di sini, bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, malam tadi.
Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program bermula pada jam 7 petang hingga ke tengah malam anjuran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik.
“Santai Malam Minggu ini merupakan acara mingguan, dan bersempena WRUR DUN Rembia kita tambahkan pelbagai pengisian menarik untuk menggamit kehadiran orang ramai.
“Selain santai-santai, kita juga isikan program seperti Alor Gajah Fun Run dan Night Walk yang menerima penyertaan lebih 2,000 orang; pertandingan mewarna; pameran serta demonstrasi dan pelbagai lagi buat semua lingkungan usia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, program itu turut dihadiri Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, program terbabit turut diserikan dengan persembahan silat, silambam dan wushu oleh anak-anak DUN Rembia bersempena sambutan bulan kebangsaan.
“Kelainan pada Santai Malam Minggu pada Program WRUR DUN Rembia ini kita bawa anak-anak tempatan yang bersekolah di pelbagai jenis sekolah dalam DUN Rembia ini untuk membuat persembahan kebudayaan.
“Program-program ini bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian kaum di peringkat akar umbi,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.