
LEBIH 40,000 GEGAR KARNIVAL MASJID TANAH: KAMPUNG KITA
LENDU 21 Disember – Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita yang berlangsung selama empat hari berakhir hari ini, berjaya menggamit kehadiran lebih 40,000 pengunjung.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi juga melambangkan wajah-wajah yang datang membawa harapan, kenangan dan rasa memiliki terhadap kampung Masjid Tanah.
Menurut beliau, sepanjang empat hari, pelbagai pengisian telah dirangkumkan dalam karnival itu antaranya program kerohanian, sukan, keilmuan, bakat seni dan pelbagai lagi yang berjaya menyatukan masyarakat di lima buah Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Masjid Tanah bukan sekadar menganjurkan sebuah karnival, tetapi sedang menghantar mesej kepada seluruh Melaka bahawa kekuatan sebenar pembangunan dan kesejahteraan bermula daripada kampung yang bersatu padu dan rakyat yang saling menjaga.
“Besar harapan saya agar semangat kebersamaan yang kita saksikan ini tidak berakhir di pentas karnival, tetapi terus
mekar dalam jiwa dan tindakan kita sebagai anak jati Masjid Tanah yang berbangga dengan akar budayanya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita di Taman Rekreasi Bukit Beringin, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Adun Ayer Limau merangkap Pengerusi Program Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Adun Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dan Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; serta lain-lain kenamaan.
Ketua Menteri berkata, melihat sambutan yang begitu memberangsangkan ini, karnival tersebut bakal diteruskan sebagai acara tahunan demi menyemai muhibah, memelihara warisan budaya dan memastikan nilainya terus hidup merentas generasi.
“Atas semangat inilah, saya percaya pembangunan tidak boleh tertumpu di bandar dan lokasi ikonik semata-mata. Sebaliknya, kampung-kampung seperti Masjid Tanah mesti diberi ruang dan peluang untuk maju seiring zaman tanpa meninggalkan akar dan identiti kita.
“Apapun, Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita ini hanyalah sebahagian daripada agenda
besar kerajaan negeri untuk menjadikan Masjid Tanah simbol perpaduan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat yang seimbang antara warisan dan arus pembangunan,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


