Lebih 500 ahli PUTRA umum keluar parti

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 12 April – Lebih 500 ahli Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengambil keputusan keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu.

Perkara itu disahkan Bekas Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Melaka, Profesor Dr Mohd Aluwi Sari yang turut melakukan tindakan sama.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya turut melepaskan semua jawatan disandangnya bersama dua lagi ketua bahagian iaitu dari Kota Melaka dan Jasin.

“Saya ingat kalau di Hang Tuah Jaya lebih 100 dan semua sekali (empat bahagian) lebih 400 yang keluar. Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka boleh katakan 100 peratus keluar, begitu juga Jasin.

“Apa yang kami sudah buat di Melaka ini anggap sahaja sebagai sumbangan khidmat kepada masyarakat dan saya ingin meminta maaf kepada pengundi,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Jelasnya, keputusan perletakan jawatan serta merta itu dibuat selepas Dewan Tertinggi parti itu membubarkan Badan Perhubungan Putra Melaka pada 1 April lalu tanpa sebab munasabah.

“Keputusan itu dibuat seperti ada kesalahan besar dilakukan sebaliknya alasan diberikan hanya kegagalan mengemukakan laporan lengkap kehadiran perwakilan ke Perhimpunan Agung Tahunan parti.

“Turut dinyatakan dalam surat pembubaran itu adalah Minit Mesyuarat Agung Tahunan tidak dihantar mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Mohd Aluwi turut mendakwa, selain Melaka antara negeri lain yang turut menerima nasib sama adalah Johor dan Terengganu.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu bukan mudah untuk kami menyakinkan pengundi tegar UMNO sertai kami malangnya pucuk pimpinan tertinggi parti dilihat tidak membantu calon akhirnya menyaksikan kesemua enam calon bertanding kalah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Kongsi :
Previous post APMM patahkan cubaan seludup keluar syabu di Pontian
Next post MiCoST lawat Pembangunan Sumber Manusia Berhad
Ubah saiz-+=