
LEBIH 600 PESERTA BAKAL MERIAHKAN PESTA KONDA KONDI
AYER KEROH 24 September – Pesta Konda Kondi Negeri Melaka 2025 dianjurkan bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 bakal dimeriahkan lebih 600 orang peserta.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima pendaftaran daripada 150 pasukan yang mengesahkan menyertai pertandingan sukan tradisional itu.
Nasrul berkata, Pesta Konda Kondi Negeri Melaka 2025 akan berlangsung selama dua hari bermula 27 September bertempat di Encore Melaka.
“Setakat ini sebanyak 150 pasukan sudah membuat pendaftaran penyertaan ia membabitkan 100 pasukan untuk Kategori Terbuka, Kategori Sekolah Rendah (25) dan Sekolah Menengah (25).
“Setakat ini sudah ada 600 peserta memandangkan setiap satu pasukan diwakili lima orang dan sasaran penyertaan keseluruhan antara 150 hingga 200 pasukan.
“Kami juga menerima penyertaan pasukan luar Melaka dari Selangor dan Kuala Lumpur, kepada yang berminat masih ada masa kerana pendaftaran akan ditutup esok,” katanya.
Menurutnya, seramai 35 urus setia termasuk pengadil yang terpilih akan bertugas sepanjang berlangsungnya acara sukan tradisional itu.
“Pengadil dipilih dalam kalangan mereka yang sudah dilatih dan menghadiri kursus dianjurkan sebelum ini. Mengikut rekod terdapat kira-kira 120 orang menyertai kursus,” katanya.
Jelas Nasrul, selain piala dan pingat, pemenang akan membawa hadiah wang tunai yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM21,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.