
LEGENDA MUZIK ‘ZAITON SAMEON’ BERSINAR DI BAZAR IKONIK BANDA HILIR
BANDA HILIR 19 Februari – Pada usia 70 tahun, legenda muzik ‘Zaiton Sameon’ masih memukau dan membuktikan semangat berkaryanya tidak pernah padam.
Di Bazar Ikonik Banda Hilir, beliau menjual kerepek dan serunding buatannya sendiri bagi menarik perhatian pengunjung tempatan serta pelancong dari negeri lain.
“Alhamdulillah, sambutan hari ketujuh di Bazar Ikonik Banda Hilir sangat menggalakkan dan ramai yang datang memberikan sokongan.
“Saya berniaga dari jam 2 petang hingga 12 tengah malam. Melaka ini kampung saya, jadi saya seronok dapat berniaga di sini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, perjalanan muziknya bermula sejak belasan tahun bermula dengan menyanyi di majlis kenduri kahwin sebelum melangkah ke pentas rakaman lagu profesional.
“Lagu pertama saya ‘Menaruh Harapan’ masih dikenang peminat sehingga kini, dan ini menandakan dedikasi saya dalam dunia seni masih dihargai.
“Walaupun kini saya menumpukan pada perniagaan makanan, namun semangat seni tetap menyala.
“Saya masih menyanyi kalau ada undangan, tetapi berniaga di sini (Bazar Ikonik) memberi pengalaman berbeza kerana semua produk saya buat sendiri,” katanya.
Anak jati Masjid Tanah itu menekankan bahawa berniaga bukan sekadar soal jualan, tetapi cara berinteraksi dengan peminat lama dan pelanggan baru.
“Sokongan mereka (pelanggan) memberi motivasi untuk saya terus berkarya walaupun usia sudah lanjut.
“Kehadiran saya di Bazar Ikonik bukan sekadar menarik perhatian pengunjung, tetapi memberi inspirasi bahawa legenda sebenar mampu mengekalkan semangat, kreativiti dan usaha tanpa mengenal usia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

