Lelaki rugi RM144,000 ditipu tawaran ‘kerja kapal’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER MOLEK 23 Feb – Seorang lelaki mengalami kerugian RM 144,000 selepas diperdaya tawaran kerja bersama syarikat perkapalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superitendan E Sundra Rajan berkata, mangsa lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan menerima tawaran kerja palsu itu menerusi e-mel pada 1 Dis tahun lalu.

Mangsa kemudiannya telah berurusan dengan suspek lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Frederick Alamini melalui aplikasi Whatsapp.

Beliau berkata, mangsa yang juga bekas pekerja perkapalan kemudiannya menggunakan wang simpanan peribadi dan wang bantuan keluarga untuk membuat transaksi secara berperingkat sebanyak 29 kali bagi urusan dokumentasi.

“Pada 20 Dis 2021 hingga 9 Feb 2022, mangsa telah diarah untuk membuat bayaran secara berperingkat sebanyak 29 kali ke dalam dua akaun untuk membuat bayaran bagi urusan VISA UAE, pemeriksaan doktor, membuka akaun bank negara dan lain-lain syarat.

“Dan pada 10 Feb lalu, mangsa menerima e-mel daripada syarikat kurier untuk menghantar dokumen dan tiga hari selepas itu, mangsa menerima panggilan dari suspek untuk meminta bayaran sebanyak RM25,000 sebagai yuran ‘anti money laundry certificate’, namun mangsa enggan membuat bayaran.

“Sehingga laporan polis dibuat pada 21 Feb lalu di Balai Polis Kandang, mangsa tidak menerima sebarang maklum balas selepas berasa diperdaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sundra Rajan turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran kerja yang meragukan.

“Orang ramai perlu berhati-hati dan jangan membuat sebarang transaksi pembayaran serta membuat semakan keatas nombor telefon atau nombor akaun meragukan di aplikasi ‘Semak Mule CCID’ menerusi aplikasi Playstore bagi membendung jadi mangsa penipuan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

976
Kongsi :
Previous post Sajat tetap lelaki di Malaysia
Next post Pantau, kemas kini gejala COVID-19 di MySejahtera sepanjang kuarantin – Khairy
Ubah saiz-+=