Lembu diimport untuk ibadah korban dijamin bebas LSD, FMD

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

JASIN, 8 Julai – Kerajaan memberi jaminan lembu yang diimport dari Thailand untuk ibadah korban sempena Aidiladha bebas daripada sebarang penyakit kulit kental (LSD) serta penyakit kuku dan mulut (FMD).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata kesemua lembu itu juga perlu mendapat pengesahan status kesihatan daripada kerajaan Thailand terlebih dahulu dan dipastikan bebas daripada sebarang penyakit sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

“Lembu itu juga perlu menjalani pemeriksaan dan kuarantin secara berperingkat di negara asal dan negara ini termasuk diberi vaksin. Pemeriksaan terakhir turut dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum haiwan terbabit dilepaskan untuk tujuan pengedaran dan penjualan.

“Pada tahun ini, kira-kira 12,000 ekor lembu telah diimport dari negara jiran bagi menampung keperluan umat Islam menunaikan ibadah tersebut (korban),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jualan Kasih Aidiladha Parlimen Jasin di Merlimau di sini hari ini.

Sempena program itu pelbagai jualan barangan keperluan untuk persiapan Aidiladha ditawarkan kepada pengunjung dengan harga istimewa antaranya ayam segar RM10 seekor, nanas MD2 RM5 sebiji dan minyak masak lima kilogram RM29 sebotol.

Ahmad berkata tahun lepas kerajaan menghentikan import lembu dari Thailand disebabkan penyakit LSD tetapi kini pengimportan haiwan ruminan itu dibenarkan dengan syarat ketat.

“Setakat ini tiada sebarang rungutan diterima dan pihak kita memberi jaminan bekalan lembu untuk perayaan Aidiladha adalah mencukupi dan pengguna juga tidak perlu berasa gusar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bekalan ayam pada bulan ini juga mencukupi dan stabil untuk menampung keperluan pengguna dan pada bulan lepas pengeluarannya mencapai kira-kira 70 juta ekor iaitu melebihi permintaan pengguna sebanyak 69 juta ekor.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

943
Kongsi :
Previous post MBMB hantar pasukan bantu misi pasca bencana di Baling
Next post Keadaan bekas PM Jepun Abe ‘kritikal’
Ubah saiz-+=