Lencong aliran Sungai Melaka, elak banjir

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BATU BERENDAM 18 Oktober – Aliran Sungai Melaka akan dilencongkan ke Malim dan seterusnya ke Pintu Air di Klebang bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan bandar Melaka.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerja lencongan aliran sungai itu akan dijalankan dalam masa terdekat selepas pihaknya mendapat persetujuan daripada konsultan.

Beliau berkata, tindakan itu diputuskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berikutan kebanyakan kes banjir kilat yang berlaku di kawasan Batu Hampar, Kampung Morten dan Pengkalan Rama susulan aliran Sungai Melaka sebelum ini terus ke Melaka River Cruise.

“Tindakan JPS dalam tempoh terdekat ini, kita akan melencongkan aliran Sungai Melaka yang sebelum ini banyak turun ke bandar, River Cruise. Kita hendak lencongkan ke Malim dan seterusnya ke pintu air di Klebang.

“Lencongan sebelum ini tidak dapat dilakukan dengan baik disebabkan ada tembok penahan yang kita letakkan di dalam sungai untuk kegunaan petani.

“Melalui keputusan oleh konsultan minggu lepas membenarkan untuk kita pecahkan supaya air dapat dialihkan ke Sungai Malim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di kolam takungan air di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman dan Pengarah JPS Melaka Abd Hakim Hamzah.

photo_2022-10-18_14-23-33 (2)
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman ditemui di lokasi cadangan tapak kolam takungan banjir di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM). Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Rahmad, selain lencongan aliran sungai itu, beberapa tindakan turut diambil bagi menyelesaiakan pemasalahan di kawasan Sungai Putat, Taman Melawis serta Taman Bukit Beruang.

“Banyak penyelesaian yang sudah kita lakukan melalui tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk membesarkan kolam, pemasangan pam serta pembinaan ban yang dibina oleh JPS sehingga ke Pulau Nibong. Malah kita juga sudah mendapat kelulusan pembinaan kolam takungan baharu di Sungai Putat.

“Dengan tindakan dan kerja yang sudh dibuat ia sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah banjir, hendak katakan tiada banjir langsung tidak boleh kerana taburan hujan yang diterima masa ini amat tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1956
Kongsi :
Previous post Utamakan lebih banyak rumah untuk golongan belia di Parlimen Hang Tuah
Next post Teruja dapat pilih sendiri ‘baju raya’ baharu sambut Deepavali
Ubah saiz-+=