Sorting by

×

LIMA FOKUS UTAMA WRUR SUNGAI UDANG : SUARA RAKYAT DIDENGAR, TINDAKAN DIAMBIL – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SUNGAI UDANG 31 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang mencatat kejayaan apabila lima fokus utama pencapaian kawasan ini berjaya direalisasikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan iltizam Kerajaan Negeri untuk merakyatkan pentadbiran yang diterjemahkan melalui tindakan nyata yang menyentuh kehidupan rakyat.

“Sepanjang wakil rakyat dan pemimpin masyarakat berada di sini, kita bukan sekadar melihat jalan berlubang atau paip bocor, tetapi kita melihat harapan dan suara rakyat yang perlu kita santuni dengan tanggungjawab.

“Dalam tempoh dua minggu, WRUR Sungai Udang telah melibatkan penganjuran 137 program dan menyantuni 158 aduan rakyat. Daripada jumlah itu, 87 isu telah berjaya diselesaikan, manakala selebihnya sedang dalam tindakan pelbagai agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Sungai Udang di Japerun Sungai Udang di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Ab Rauf kesemua aduan dan permintaan rakyat yang diterima telah dikategorikan kepada lima fokus utama bagi memastikan tindakan yang diambil lebih tersusun dan berkesan.

“Lima fokus utama yang dikenal pasti ialah infrastruktur dan kemudahan awam, kemudahan dan infrastruktur kesihatan, infrastruktur dan fasiliti pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat serta Inisiatif Kampung Digital DUN Sungai Udang.

“Sepanjang tempoh WRUR ini, banyak pencapaian dan penyelesaian telah berjaya dilaksanakan di DUN Sungai Udang.

“Kerajaan Negeri akan terus menyantuni denyut nadi rakyat, memastikan tiada seorang pun yang tercicir dan setiap perkhidmatan sampai tepat kepada rakyat,” katanya.

Ab Rauf turut mengucapkan terima kasih kepada semua Exco Kerajaan Negeri, wakil rakyat dan semua pemimpin masyarakat yang terlibat sepanjang pelaksanaan WRUR DUN Sungai Udang.

“Besar harapan saya agar momentum kerjasama ini dapat diperkukuh demi mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

966
Kongsi :
Previous post DECATHLON PERKUKUH MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN SUKAN
Next post DUA KAMPUNG DI SUNGAI UDANG TERIMA ALAMAT DIGITAL BAHARU