Sorting by

×

DUA KAMPUNG DI SUNGAI UDANG TERIMA ALAMAT DIGITAL BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SUNGAI UDANG 31 Mei – Sebanyak 357 kediaman di Kampung Sungai Udang dan Kampung Bukit Mentangau sudah menerima pelekat alamat Kampung Digital.

Proses itu dilaksanakan sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, selari dengan usaha Kerajaan Negeri membawa perubahan digital hingga ke peringkat akar umbi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata inisiatif tersebut membolehkan penduduk kampung menikmati akses lebih mudah kepada perkhidmatan penting seperti penghantaran barangan, urusan kecemasan serta pendaftaran rasmi.

“Insya-Allah, selepas ini pengedaran alamat baharu diteruskan ke lapan buah kampung lagi di DUN ini yang dijangka selesai sepenuhnya pada Jun 2025.

“Secara keseluruhan, terdapat 10 kampung di DUN Sungai Udang yang terlibat dalam inisiatif ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Sungai Udang di Japerun Sungai Udang di sini,malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Usaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Tambah beliau, seluruh negeri Melaka bakal menyaksikan sebanyak 618 kampung menerima sistem alamat digital dengan 220 kampung daripadanya terletak di daerah Melaka Tengah.

“Untuk meringankan beban rakyat, Kerajaan Negeri akan menanggung RM5 daripada kos sebenar RM10 bagi proses penggantian kad pengenalan.

“Saya menyeru kepada semua penduduk kampung yang telah menerima pelekat alamat digital agar segera mengemas kini maklumat pada kad pengenalan masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

551
Kongsi :
Previous post LIMA FOKUS UTAMA WRUR SUNGAI UDANG : SUARA RAKYAT DIDENGAR, TINDAKAN DIAMBIL – AB RAUF
Next post TINGKAT KESEJAHTERAAN RAKYAT, FASILITI AWAM DINAIK TARAF