Lima rentung selepas kereta terbakar dalam kemalangan dua treler

Masa Membaca:54 Saat

IPOH, 12 Mei – Lima rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan dua treler membawa muatan besi dan muatan mozek di KM 246 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada kira-kira 12.52 tengah malam.

“Kami segera mengerahkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan bantuan daripada BBP Meru Raya, Kamunting dan Ipoh sebaik menerima panggilan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kereta jenis yang belum dikenal pasti dan treler jenis Volvo 20 tan membawa muatan besi dinaiki seorang lelaki mengalami kebakaran sebanyak 90 peratus manakala sebuah lagi treler jenis sama membawa muatan mozek dinaiki dua lelaki tidak mengalami kebakaran.

Katanya, lima mangsa terbabit disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital manakala tiga lelaki yang menaiki dua treler itu dilaporkan selamat.

Beliau berkata identiti mangsa belum dapat dikenal pasti setakat ini dan mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1189
Kongsi :
Previous post Lelaki didakwa tipu sewa tapak bazar Ramadan babit kerugian RM10,800
Next post Piala Thomas: Malaysia bertemu India dalam suku akhir
Ubah saiz-+=