Sorting by

×

LPPKN MELAKA BANTU IBU BAPA HADAPI CABARAN DUNIA MODEN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 27 Mei – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka terus memperkukuh institusi keluarga menerusi penyediaan perkhidmatan kaunseling dan kursus keibubapaan bagi membantu ibu bapa mendepani cabaran dunia moden.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, perkhidmatan kaunseling keluarga disediakan pada kadar bayaran rendah bagi membantu golongan ibu dan wanita berdepan tekanan emosi, stres serta kemurungan.

“Perkhidmatan kaunseling keluarga juga tersedia dengan harga perkhidmatan yang sangat murah. Jadi jika ibu-ibu rasa stres, keletihan melampau (burnout) dan kemurungan, boleh datang berjumpa dengan kaunselor di LPPKN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Hari Ibu 2026 Peringkat Negeri Melaka di Dewan Komuniti Bukit Beruang, pada Ahad.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee; Pengarah LPPKN Negeri Melaka Suszma Khairitszi Mamat dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhamad.

Menurut Kalsom, Pusat Keluarga LPPKN Melaka turut menawarkan pelbagai kursus keibubapaan menarik pada setiap bulan bagi membantu ibu bapa memperkukuhkan institusi keluarga.

“Antara kursus disediakan ialah Kursus Ilmu Keluarga, Kursus KASIH Keibubapaan Digital, Kursus Pra Perkahwinan SMART START 2.0 dan Kem Naungan KASIH bagi membantu ibu bapa menghadapi cabaran mendidik anak dalam dunia moden.

“Selain itu, objektif penganjuran kursus ini adalah memberi ilmu, kemahiran dan sokongan kepada ibu bapa agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

464
Kongsi :
Previous post SENI ABSTRAK PASIR TERAPI JIWA NORHANEM
Next post 2,000 TUNAI SOLAT SUNAT AIDILADHA DI KEM TERENDAK