LPPR: Tiada pencanggahan kepentingan dalam urusniaga saham libatkan Azam Baki

Masa Membaca:57 Saat

PUTRAJAYA, 5 Jan – Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), satu daripada lima badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam urus niaga saham pada 2015.

Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lepas (2021) telah mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk membeli saham-saham pada tahun 2015.

Abu Zahar berkata pembelian saham-saham berkenaan dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015, dan saham-saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.

Beliau berkata setelah berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Azam tiada sebarang kepentingan ‘pecuniary’ (kewangan) mahupun benefisial ke atas saham-saham berkenaan.

“Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau ‘conflict of interest’ (percanggahan kepentingan) dalam perkara tersebut,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

526
Kongsi :
Previous post UMNO harap kerajaan pertimbang pengeluaran KWSP RM10,000
Next post Azam Baki nafi mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat
Ubah saiz-+=