Machap Jaya: Calon BN mahu bina masjid

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berazam untuk membina masjid baharu buat rakyat sekiranya diberikan mandat memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang mahu disapa sebagai Ah Sem berkata, ketika dirinya beramah mesra dengan penduduk di sekitar kawasan Machap Jaya, beliau menerima maklum balas mengenai pembinaan masjid baharu.

Katanya, ramai penduduk mendakwa tidak mempunyai tempat yang cukup untuk melakukan ibadah keagamaan.

“Ada beberapa kawasan yang pesat membangun seperti Lesung Batu, Taman Melaka Perdana, Pengkalan Indah dan Kampung Melaka Pindah, jadi memang tidak cukup bagi orang Islam beribadah.

“Mereka ada permintaan, jika saya diberi mandat saya akan usaha dapatkan satu masjid baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya,” katanya ketika sesi beramah mesra dengan pengamal media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata beliau juga mahu membangunkan kawasan perumahan kos rendah memandangkan ada kalangan penduduk di Hutan Percha dan kawasan Felda yang terdiri daripada peniaga kecil.

“Jika kita hendak elakkan penduduk kawasan ini keluar berhijrah, kita perlu wujudkan perumahan yang kosnya rendah bagi membolehkan mereka membina keluarga dan menetap di kawasan itu.

“Selain memajukan projek perumahan, saya mahu memastikan sebarang projek terbengkalai disambung semula,” katanya.

Ah Sem berdepan saingan enam penjuru di DUN Machap Jaya melibatkan calon Perikatan Nasional (PN), Tai Siong Jiul, Law Bing Haw daripada Pakatan Harapan (PH), Abdul Aziz Osani Kasim (Parti Perikatan India Muslim Nasional) dan Azlan Daud (Bebas).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post Bilik Gerakan PN Telok Mas ditutup, satu kes positif COVID-19
Next post Agong berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran
Ubah saiz-+=