MAHA 2022 : Roti Canai Durian D24 paling laris di Pavillion Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

SERDANG 9 Ogos – Inovasi menyediakan kepelbagaian produk sedia ada menjadikan Roti Canai Durian D24 antara produk baharu yang menjadi rebutan pengunjung di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Pengasas Aizreg Food Industries Sdn Bhd, Othman Abdullah, 66 berkata pameran yang menerima sambutan luar biasa kali ini membuatkan roti canai sejuk beku yang dijualnya itu menerima permintaan tidak putus dari pelanggan.

Jelasnya, hampir 300 pek Roti Canai Durian D24 berjaya dihabiskan dalam tempoh sehari malah kadangkala tidak memenuhi permintaan pelanggan yang datang berikutan kehabisan stok.

“Alhamdulillah, syarikat yang diturunkan kepada anak saya, Mohd Nor Aizat sejak lapan tahun lalu menerima sambutan pelanggan apabila ramai pelanggan yang datang tertarik dengan keunikan roti canai durian disediakan di gerai kami malah durian yang digunakan merupakan isi durian asli mungkin menjadi sebab utama ramai yang membelinya.

“Ini merupakan hasil inovasi daripada produk asal sebelum ini di mana pada asalnya perniagaan yang beroperasi hampir 20 tahun ini hanya memasarkan makanan sejuk beku iaitu roti canai, roti bom, karipap serta kuih muih lain.

“Apabilaroti canai durian dan roti canai coklat dipromosikan ia menerima sambutan sejak hari ketiga bertapak di MAHA 2022,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sambutan yang diterima dari pengunjung ke Pavillion Melaka turut membawa limpahan ekonomi kepada peniaga lain apabila ada antaranya menerima jualan luar biasa daripada sasaran mereka.

Pengasas Aizreg Industries Sdn Bhd, Othman Abdullah, 66. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pegawai Pemasaran Mama G Sdn Bhd, Nor Aisyah Raihana, 21, berkata, jualan yang diterimanya mencecah dua kali ganda menjelang hujung minggu sejak bertapak di kawasan itu minggu lalu.

Katanya yang menjual sos keju berperisa kini menerima permintaan lebih 15 botol sos sehari dengan nilai keuntungan lebih RM1,000.

“Alhamdulillah apabila hujung minggu ia meningkat lebih kepada RM2,000 kutipan daripada jualan dimana permintaan itu meningkat dua kali ganda.

“Kami bersyukur apabila ditempatkan di MAHA 2022 kerana selain memberi keuntungan ramai peniaga dan individu perseorangan yang datang memberi pelbagai tawaran perniagaan malah ada yang memberi idea dan peluang untuk kami mengembangkan perniagaan yang beroperasi hampir tiga tahun ini.

“Kita lihat banyak peluang besar apabila berada di sini dan ini memberi peluang kami untuk berkolaborasi untuk meluaskan pasaran ke seluruh negara termasuk Singapura pada masa akan datang,” katanya.

Views:

1858
Kongsi :
Previous post Khemah baharu persediaan hadapi bencana
Next post Tapak kedai terbakar dibersihkan, elak daripada bersemak
Ubah saiz-+=