Majikan wanita didakwa cederakan amah warga Indonesia
KUALA LUMPUR, 8 September – Seorang majikan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia menggunakan sebatang kayu, bulan lepas.
Pengurus syarikat swasta K.Rineshini Naidu, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah kepada Zailis, 46, dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.
Rineshini Naidu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Industri Bolton, Gombak pada 11 pagi, 30 Ogos lepas, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zainudin menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati dan mengganggu mangsa.
“Pagi tadi tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor atas tuduhan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).
“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Klang, untuk dibicarakan bersama,” katanya.
Bagaimanapun peguam A. Narainasami yang mewakili tertuduh, memohon jaminan munasabah berjumlah RM5,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai keluarga serta anak kembar, dan akan patuh pada syarat-syarat tambahan tersebut.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati dan mengganggu mangsa selain, memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Klang untuk dibicarakan bersama.
Pagi tadi Rineshini Naidu dan suaminya S. Vijiyan Rao, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa, sehingga menyebabkan kecederaan parah antara Mac dan Ogos tahun ini.
Bagaimanapun, Rineshini Naidu dan suaminya yang merupakan seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozianayati Ahmad.
Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Rozianayati menetapkan 5 Okt ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sebelum ini media melaporkan polis menahan seorang majikan wanita warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes penderaan seorang pembantu rumah warga Indonesia, di sebuah rumah di Batu Caves.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.