Sorting by

×

MAKAN DURIAN SAMPAI PUAS DI MELAKA AGROFEST 2025

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Penggemar durian berpeluang menikmati raja buah itu sepuasnya dengan hanya membayar RM15 seorang menerusi acara Kendurian-Jualan Durian Murah sempena Melaka Agrofest 2025 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, 29 Jun ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bagaimanapun peluang itu ditawarkan kepada 1,000 pengunjung pertama sahaja.

“Ini adalah inisiatif untuk memanfaatkan musim durian di negeri ini selain menggamit lebih ramai pengunjung ke Melaka Agrofest 2025.

“Kita mahu beri peluang rakyat menikmati durian pada harga yang sangat berbaloi dan makan sepuas hati pada hari tersebut, kita juga akan jual durian pada jauh lebih murah berbanding pasaran,” katanya pada sidang media Melaka Agrofest 2025 di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib.

Menurutnya, pengunjung juga berpeluang menyertai pertandingan makan durian yang menawarkan hadiah menarik kepada peserta terpantas menghabiskan durian masing-masing.

Melaka Agrofest 2025 dijadualkan selama tiga hari dari 27 hingga 29 Jun di Dataran Sejarah, Ayer Keroh dan bakal menampilkan pelbagai program menarik termasuk pameran produk-produk agro.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5079
Kongsi :
Previous post PENGHORMATAN KEPADA VETERAN ATM
Next post ANGKAT SEMULA KEGEMILANGAN SUNGAI MELAKA