Malaysia Airlines, SIA aktifkan semula, perluas perkongsian kod

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR 19 Nov – Malaysia Airlines Bhd dan Singapore Airlines (SIA) akan mengaktifkan semula pengaturan perkongsian kod mereka antara Singapura dan Kuala Lumpur, serta memperluaskannya untuk merangkumi 15 destinasi domestik di Malaysia, tujuh destinasi di Eropah dan dua bandar di Afrika Selatan.

Kedua-dua syarikat penerbangan berkata ini susulan pengumuman bahawa Malaysia dan Singapura akan melancarkan pengaturan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara mulai 29 Nov, menyediakan perjalanan yang lancar kepada para pelanggan untuk perniagaan atau perjalanan santai/riadah mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat penerbangan itu berkata pengembangan besar pengaturan perkongsian kod di Malaysia dan melangkaui kedua-dua negara, berlaku di tengah-tengah pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur selain peningkatan dalam permintaan untuk perjalanan udara.

Mulai 29 Nov, pelanggan SIA dapat menyambung secara progresif menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines di luar Kuala Lumpur apabila syarikat penerbangan itu menambah 15 destinasi perkongsian kod baharu di Malaysia, kata mereka.

Ini termasuk Alor Setar, Bintulu, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Kuantan, Kuching, Labuan, Langkawi, Miri, Pulau Pinang, Sandakan, Sibu, dan Tawau.

Kenyataan bersama itu turut menyatakan mulai 1 Jan 2022, pelanggan Malaysia Airlines akan dapat berhubung melalui penerbangan SIA dari Singapura ke tujuh destinasi di Eropah yang termasuk Barcelona, ​​Copenhagen, Frankfurt, Moscow, Munich, Rom dan Zurich, serta Cape Town dan Johannesburg di Afrika Selatan.

“Destinasi lain dalam rangkaian Singapore Airlines atau Malaysia Airlines akan ditambah secara berperingkat pada pengaturan perkongsian kod,” katanya.

Kenyataan itu menambah pengembangan signifikan pengaturan perkongsian kod ini adalah fasa pertama perjanjian komersial yang luas yang ditandatangani oleh Malaysia Airlines dan SIA pada 2019.

“Di bawah perjanjian ini, syarikat penerbangan merancang untuk melaksanakan pengaturan perniagaan bersama antara Malaysia dan Singapura, tertakluk kepada kelulusan kawal selia.

“Ini akan membolehkan rakan kongsi menyelaraskan jadual penerbangan, menawarkan produk tambang pada kadar bersama, melaraskan program korporat dan meneroka hubungan program penumpang setia antara KrisFlyer dan Enrich.

“Kedua-dua syarikat penerbangan itu juga akan meneroka inisiatif pemasaran pelancongan bersama dan jadual perjalanan pelbagai hentian, yang akan membolehkan pelanggan melakukan perjalanan ke lebih banyak destinasi di Malaysia melalui Kuala Lumpur dan Singapura,” kata mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airlines Izham Ismail berkata pelancaran VTL sememangnya sangat tepat pada masanya memandangkan musim perayaan dan cuti akhir tahun bakal tiba yang mana penduduk kedua-dua negara secara tradisinya menghabiskan masa mereka sama ada di Singapura atau Malaysia.

“Kami mengharapkan lebih banyak VTL untuk Malaysia supaya kami dapat memulihkan perjalanan di peringkat global dengan selamat.

“Perluasan perkongsian kod kami dengan SIA ke Eropah dan Afrika Selatan tepat pada masanya dan kami amat berterima kasih atas sinergi dan hubungan mesra antara kedua-dua syarikat penerbangan, yang telah membolehkan perkongsian ini,” tambahnya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

904
Kongsi :
Previous post Sulaiman mengundi di SK Durian Daun, esok
Next post Piala Malaysia: Zainal Abidin tekad bawa pasukan mara ke akhir
Ubah saiz-+=