Malaysia lebih bersedia hadapi lonjakan kes Omicron – Khairy
KUALA LUMPUR, 1 Feb – Malaysia dilihat lebih bersedia untuk menangani lonjakan kes COVID-19 varian Omicron selain berpengalaman dalam melindungi golongan rentan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Dalam tweetnya hari ini, Khairy berkata keadaan tidak sama seperti Jun hingga September tahun lepas kerana kini, negara lebih bersedia susulan pelaksanaan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Lebih sebulan lepas, saya berkata bahawa kita menjangkakan Omicron akan menjadi dominan di sini seperti yang berlaku di tempat-tempat lain dan apabila ia berlaku, kes akan meningkat. Itulah, sebabnya kita mempercepatkan program pemberian suntikan dos penggalak.
“Kini, kita dapat melihat ramalan peningkatan cepat kes. Bagaimanapun, tidak perlu panik. Terdapat petunjuk kukuh untuk penyahgadingan antara kesan yang teruk dengan jumlah kes,” katanya.
Beliau berkata program vaksinasi untuk orang dewasa, remaja dan tidak lama lagi untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun berjalan lancar dengan penggunaan hospital masih terkawal.
“Sebab itulah, kita boleh memendekkan tempoh kuarantin, membenarkan orang ramai mengawal diri dan mengawal gangguan pada tahap minimum,” tambahnya.
Khairy berkata dengan lebih 50 peratus individu dewasa dan hampir 70 peratus warga emas telah menerima dos penggalak COVID-19 masing-masing, beliau berharap semua pihak dapat mengharungi gelombang Omicron melalui pendekatan teliti yang ditentukur dan berkadaran.
“Ikut SOP (prosedur operasi standard). #TRIIS. Dapatkan dos penggalak. Pastikan anak-anak anda divaksin. Kita boleh melakukan ini,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.