Malaysia, Singapura nilai semula risiko sebelum teruskan VTL udara, darat

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

ISKANDAR PUTERI, 7 Jan – Kerajaan Malaysia dan Singapura akan menilai semula risiko semasa sebelum memutuskan untuk meneruskan dengan kuota 50 peratus daripada kapasiti asal skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat atau sebaliknya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata mengikut perbincangan asal, kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk meneruskan VTL harian dengan pengurangan kuota kepada 50 peratus untuk penjualan tiket diteruskan pada 21 Jan ini.

Pada 23 Dis lepas, kedua-dua negara memutuskan untuk menggantungkan penjualan tiket VTL udara dan darat susulan ancaman Omicron, sebelum ia dijangka diteruskan semula.

“Kedua-dua pihak akan berbincang mengenai jumlah yang boleh… sama ada udara ataupun darat.

“Dalam beberapa minggu ini, kita akan buat penilaian kalau kedua-dua pihak merasakan untuk (meneruskan dengan) 50 peratus ataupun sebaliknya,” kata beliau kepada pemberita pada majlis meraikan pencapaian kendalian 11 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena oleh Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd bagi 2021, di sini hari ini.

Wee berkata setakat ini seramai 37,783 pengembara dari Singapura ke Malaysia direkodkan menggunakan VTL udara.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini mengenai VTL yang kini ditangguhkan penjualan tiketnya.

Sebelum ini, kuota harian yang telah ditetapkan bagi VTL darat adalah 1,440 individu untuk sehala.

Wee sebelum ini dilaporkan berkata inisiatif bagi VTL udara dan darat antara Malaysia-Singapura terus ditangguh atau kembali beroperasi akan ditentukan dalam tempoh 48 jam sebelum tamat tarikh penangguhannya iaitu pada 21 Jan ini.

Beliau dilaporkan berkata sekiranya VTL kembali diteruskan pada tarikh tersebut, jumlah jualan tiket berkemungkinan akan dikurangkan hingga 50 peratus daripada jumlah sedia ada. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post Bayaran RM1,136 bagi pengambilan pra kali pertama – Imigresen
Next post Ritual tolak banjir: Siasatan belum selesai, Raja Bomoh, Puteri Zaleha dibebas dengan ikat jamin
Ubah saiz-+=