Mangsa banjir bersyukur ramai yang prihatin

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 Oktober – “Meskipun diuji begini namun semua urusan saya dan anak dipermudahkan malah sikap prihatin banyak pihak urusan perpindahan ke PPS berjalan dengan mudah,” itu kata mangsa banjir Zaiton Suman, 55.

Menurutnya, peka dengan lokasi kediamannya yang sering dinaiki air, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan menghubunginya setiap kali cuaca hujan untuk mengetahui keadaan paras air sebelum meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk datang membantu.

Katanya, dengan keadaan kudratnya, dia tidak mampu untuk mengangkat anak lelaki berusia 17 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) ke pusat pemindahan sementara (PPS) malah anak saudara turut banyak membantu.

“Seperti sebelum-sebelum ini, JPKK akan telefon untuk pastikan saya dan anak berada dalam keadaan selamat. Semalam pun sama, apabila dimaklumkan air dah mula tinggi dan arus deras, tidak lama selepas itu APM tiba.

“Semalam selepas Maghrib, kami berpindah ke PPS selepas air sudah mencecah paras pinggang, sepanjang tahun ini, ini kali ketiga rumah dimasuki air,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir dari Bukit Balai, Siti Khadijah Nordin, 40, berkata, dia berpindah ke PPS bersama 11 ahli keluarga yang lain apabila paras air di kawasan kediaman mereka mencecah paras pinggang.

“Disebabkan lokasi rumah kami berdekatan dengan sungai jadi apabila hujan lebat berterusan, air akan melimpah menyebabkan kami perlu berpindah walaupun hanya untuk satu malam.

“Dengan pengalaman banjir sebelum-sebelum ini, baju kami suami isteri dan anak-anak memang disimpan di dalam bonet kereta begitu juga dengan toto, apabila perlu berpindah semuanya sudah tersedia,” katanya.

Kata ibu kepada tiga anak itu, sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh sehingga November depan, barangan persekolahan anak-anaknya sudah diletakkan di sekolah bagi mengelak sebarang kerosakan.

“Untuk bulan November dan Disember ini akan takut kerana risau mungkin berlaku banjir besar sebab itu buku sekolah anak-anak saya sudah minta tinggalkan di sekolah manakala pakaian pula diletakkan ditempat tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Mujurlah anak-anak faham dan tidak merungut malah kami di PPS amat selesa, layanan diterima daripada petugas amat berpuas hati,” katanya.

Ujarnya, bagi menangani banjir di kawasan kediamannya Kerajaan Negeri sudah mengambil tindakan mendalamkan sungai namun keadaan itu masih berterusan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6701
Kongsi :
Previous post Berusaha ‘tarik hati’ majikan baharu
Next post MotoGP Malaysia tarik lebih 163,000 penonton
Ubah saiz-+=