Mangsa banjir Johor harap air surut sebelum PRN Sabtu ini, agar dapat mengundi

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KLUANG, 10 Mac – Dengan berbaki kurang 48 jam untuk kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung, pengundi di Daerah Kluang khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Layang-Layang diuji dengan kejadian banjir kilat.

Rata-rata pengundi di daerah itu berharap agar air banjir surut secepat mungkin agar mereka dapat menunaikan kewajipan mereka sebagai rakyat Johor, Sabtu ini.

Seramai 202 orang daripada 54 keluarga di Kluang terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) semalam akibat banjir kilat susulan hujan lebat sejak dua hari lepas.

Seorang mangsa banjir Kamisah Abu, 42, berkata beliau berharap keadaan banjir di kawasanya akan pulih bagi membolehkan beliau dan ahli keluarganya mengundi pada PRN Johor kali ini.

“Rumah tidak terjejas teruk, air naik sedikit sahaja tetapi harap ia pulih sebab orang nak mengundi di sekolah ini juga,” kata suri rumah itu ketika ditemui Bernama di PSS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Simpang Renggam di sini, hari ini.

SK Sungai Linau antara tiga PPS yang dibuka di Kluang yang menempatkan 35 mangsa daripada tujuh keluarga selain SK Seri Kenchana (112 mangsa) dan Dewan Kampung Kolam Air (58 mangsa).

Seorang lagi mangsa, Masudin Kasman, 54, berkata kawasan perumahannya di Kampung Sungai Linau merupakan antara lokasi ‘panas’ banjir berikutan keadaan geografi tanah yang rendah.

Namun, buruh kasar itu mengharapkan pihak berkuasa berusaha membersihkan parit-parit yang tersumbat secara berkala bagi mengelak berlakunya banjir kilat, setiap kali hujan lebat.

Katanya beliau akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Sabtu sekiranya keadaan banjir pulih sepenuhnya kerana jalan di kawasan tersebut masih digenangi air.

Sementara itu, Ruziah Pantuk, 59, berkata beliau sempat untuk menyelamatkan barang-barang peribadi dan keperluan sebelum air memasuki rumahnya.

Beliau berkata banjir yang melanda semalam, adalah sesuatu yang tidak dijangka kerana kebiasaannya fenomena banjir akan berlaku pada akhir tahun di kawasan berkenaaan.

“Saya tidak tahu ada penyelesaian atau tidak bagi masalah banjir ini sebab pihak berkuasa sentiasa lakukan apa yang patut tetapi susah setiap kali banjir, kerana perlu selamatkan barangan dan haiwan ternakan (ayam),” katanya.

Kawasan yang terjejas di daerah berkenaan termasuk Bukit Keremoyang, Kampung Pisang dan Kampung Sungai Rambai, Kampung Mohd Amin, Kampung Kolam Air, Kampung Sungai Linau, Kampung Paya Mas dan Kampung Batu 6.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post Pencapaian 100 hari: WiFi di 28 JAPERUN dan 30 PEDI
Next post PRN JOHOR: Skim ‘rent-to-own’ beri manfaat golongan muda milik rumah
Ubah saiz-+=