
MANUSKRIP ‘ARMADA MALUKU’ TARIKAN EKSKLUSIF PAMERAN ENRIQUE DE MALACA
KLEBANG 25 September – Manuskrip senarai nama ‘Armada Maluku’ diperoleh hasil misi Kerajaan Negeri ke Portugal, Sepanyol dan Amsterdam, Belanda menjadi antara bahan eksklusif pada Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia, Enrique De Malaca di Encore Melaka.
Kurator Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Mohd Shukry Abdullah berkata manuskrip itu merupakan satu-satunya koleksi seumpamanya yang ada di Malaysia dan dibawakan khas untuk tatapan masyarakat.
Katanya, senarai nama itu menjadi bukti penting dalam usaha ‘meluruskan sejarah Melaka’.
“Dokumen ini menjadi bukti penting yang mengaitkan Enrique dengan pelayaran mengelilingi dunia, sekali gus melengkapkan penyelidikan yang telah bermula sejak 2010.
“Kita mahu memperlihatkan dokumen penting ini supaya masyarakat mendapat gambaran lebih tepat tentang siapa sebenarnya Enrique De Malaca,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malaca@ Panglima Awang di Encore Melaka, di sini, semalam.

PENGUNJUNG meneliti bahan pameran disediakan pada Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia, Enrique De Malaca di Encore Melaka. Foto Muhammad Rasul Azli Samad
Mengulas lanjut, Mohd Shukry yang juga Penyelaras pameran berkata selain manuskrip bersejarah, teknologi interaktif turut diterapkan bagi memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.
“Antara yang menarik ialah paparan AI (kecerdasan buatan) menampilkan figura Enrique melambai kepada pengunjung serta tayangan video sebagai penutup lawatan.
“Lawatan ke pameran ini mengambil masa kira-kira 30 minit dan dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula 23 hingga 30 September, dari jam 10 pagi hingga 10 malam,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.