
MARITIM GAGALKAN SINDIKET SELUDUP CECAIR DADAH BERNILAI RM15 JUTA DI PENGKALAN BALAK
KUALA LINGGI 5 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan sindiket menyeludup keluar cecair bahan kimia mengandungi dadah (prekursor) terbesar berjumlah kira-kira RM15 juta, menerusi perairan Pengkalan Balak, pada Khamis lalu.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bahan kimia campuran sebanyak 179 liter itu ditemui diletakkan di dalam 15 kotak yang ditinggalkan di kawasan semak berbatu berhampiran Pusat Latihan Perahu Layar, kira-kira jam 9.40 malam.
Katanya, rampasan itu dilakukan hasil daripada risikan Unit Risikan Maritim bersama Bahagian Perisikan Maritim (MIND) dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.
“Hasil risikan diperoleh ia kemudian membawa kepada penemuan 179 botol cecair bahan kimia yang diletakkan di dalam kotak berbalut plastik hitam dan nilai rampasan bahan ini di pasaran gelap dianggarkan hampir RM15 juta.
“Rampasan cecair bahan kimia yang dipercayai mengandungi pelbagai dadah antaranya methamphetamine, ekstasi dan nikotin ini merupakan rampasan terbesar Maritim Malaysia setakat ini.
“Kita percaya cecair bahan kimia ini ingin diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan air dan ini juga merupakan rampasan pertama membabitkan cecair bahan kimia yang belum diproses dilakukan,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Zawawi, cecair bahan kimia itu dipercayai untuk kegunaan pemprosesan dadah sintetik termasuk cecair isian rokok elektronik.
“Sekiranya menjalani pemprosesan, bahan ini berupaya menghasilkan kira-kira 150 kilogram (kg)dadah sintetik dan dianggarkan mampu diedarkan kepada lebih 300,000 hingga 800,000 penagih.
“Kita percaya lokasi penemuan ini merupakan lokasi ‘hotspot’ kerana jaraknya yang dekat ke dataran negara jiran yang dituju malah kita juga percaya kotak-kotak mengandungi cecair ini akan dibawa menggunakan bot pancung.
“Meskipun tiada tangkapan namun kita tidak menolak kemungkinan terdapat pembabitan orang tempatan selain usaha menjejaki kenderaan digunakan untuk membawa bahan tersebut,” katanya.
Jelasnya, cecair berkenaan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.