Masalah kera, kami sudah tak tahan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

ASAHAN 28 Jan- “Masalah membabitkan kera ini sudah melampau hingga ada yang berani masuk rumah.

“Saya terpaksa sediakan kayu atau batu di dapur untuk halau haiwan liar itu,” kata Irwan Nasri Saleh, 36, penduduk Kampung Pondok Kempas, Selandar, berikutan kediamannya kerap menjadi sasaran kumpulan kera liar mencari makan.

Menurutnya, penduduk berasa amat kurang senang dengan kehadiran kumpulan kera berkenaan kerana didawa kerap merosakkan barangan dan peralatan rumah.

Katanya, apa yang lebih merisaukan penduduk adalah kumpulan kera berkenaan turut bertindak agresif dan dibimbangi boleh mencederakan orang ramai khusus kanak-kanak.

Dia yang tinggal bersama ibu dan dua kakak berkata, kehadiran kumpulan kera liar itu menyebabkan aktiviti harian penduduk terganggu malah ada yang risau untuk keluar rumah.

“Kera liar ini juga menganggu ternakan, berani masuk dalam reban, sampai ayam pun takut. Kalau pokok-pokok bunga dan tanaman sekeliling rumah ini jangan cakaplah, hancur semuanya dimusnahkan kera liar.

“Jika sebelum ini, kera-kera itu hanya keluar pada waktu menjelang senja, namun kini tanpa mengira waktu untuk mencari makanan dan merosakkan harta benda penduduk sekitar.

“Haiwan liar ini terlampau banyak, dalam beberapa kejadian sebelum ini ada penduduk dan kanak-kanak pulang dari sekolah dikejar kera,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Irwan, mewakili penduduk di Kampung Pondok Kempas berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera dalam usaha menangani masalah kera liar.

Katanya, penduduk berharap pihak berwajib dapat membuat sesuatu terhadap kera-kera berkeliaran yang bertindak liar dan ganas.

“Saya harap pihak bertanggungjawab dapat membuat sesuatu, jika meletakkan sangkar sahaja tidak efektik, saya harap ada tindakan lain yang lebih berkesan dapat dilaksanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1543
Kongsi :
Previous post LeyPark Station, macam-macam ada
Next post Pengecualian bayaran UPUOnline diteruskan – Noraini
Ubah saiz-+=