Sorting by

×

MASJID TANAH: KAMPUNG KITA JADI ACARA TAHUNAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

LENDU 21 Disember – Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita akan diangkat sebagai acara tahunan selepas kejayaan edisi sulungnya menggamit kehadiran lebih 40,000 warga Masjid Tanah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, karnival tersebut dicetuskan bertujuan untuk memastikan generasi muda hari ini kembali menghargai asal-usul
mereka.

Pada masa sama, jelasnya, semua anak jati Masjid Tanah wajar berbangga menjadi anak kampung, dan melihat kampung sebagai warisan bernilai yang membina jati diri serta menjadi sumber inspirasi masa depan.

Ab Rauf turut berkongsi serangkap pantun membayangkan karnival tersebut akan diteruskan lagi pada tahun depan.

“Kalau tuan pergi ke kota,
Singgah sekejap di Durian Daun;
Masjid Tanah; Kampung Kita,
Akan diteruskan setiap tahun.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita di Taman Rekreasi Bukit Beringin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Adun Ayer Limau merangkap Pengerusi Program Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Adun Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dan Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat dan memeriahkan karnival selama empat hari itu.

“Secara peribadi, hati saya benar-benar tersentuh melihat semangat orang-orang Masjid Tanah. Dari hari pertama hingga ke detik terakhir, sokongan yang tidak pernah surut inilah yang menghidupkan karnival ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

179
Kongsi :
Previous post LAHIR PEWARIS KEJAYAAN MASJID TANAH
Next post BUSANA UNIK KELUARGA NUR SYUHADAH TARIK PERHATIAN TOK RAUF