Mayat dalam Perodua Kancil dipercayai pasangan kekasih

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER LIMAU 7 September – Dua mayat yang ditemui dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil di Kompleks Japerun Ayer Limau, pagi tadi, dipercayai pasangan kekasih.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Razali Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam dan polis tiba di perkarangan kompleks tersebut kira-kira jam 8.45 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa berusia 20 dan 16 tahun.

“Menurut laporan, mangsa lelaki berusia 20 tahun dan perempuan berusia 16 tahun dipercayai pasangan kekasih berasal dari Masjid Tanah.

“Ketika ditemui, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan dipercayai kerana terhidu gas karbon monoksida dari pendingin hawa kereta milik bapa mangsa lelaki itu.

“Pihak polis turut mendapat maklumat, mangsa perempuan yang merupakan pelajar Tingkatan 4  sebuah sekolah di Lubok China telah dihantar oleh rakannya bertemu mangsa lelaki di Kompleks Japerun tersebut pada jam 4 petang kelmarin,” katanya kepada pemberita di Kompleks Japerun Ayer Limau, hari ini.

WhatsApp Image 2022-09-07 at 2.17.49 PM
RAZALI

Mengulas lanjut, Razali berkata, berdasarkan maklumat daripada saksi yang juga orang awam, kereta berkenaan dijumpai dalam keadaan berselubung dengan kanvas sebelum menemukan dua mayat itu.

Bagaimanapun, katanya, siasatan polis mendapati tiada sebarang pergelutan, unsur jenayah mahupun perbuatan sumbang dilakukan kedua-dua mangsa.

“Dipercayai kereta itu berada di lokasi terbabit sejak 4 petang kelmarin dan mayat kedua-dua mangsa ketika ditemui lengkap berpakaian.

“Kedua-dua mayat tersebut dihantar ke Hospital Melaka bagi bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9112
Kongsi :
Previous post Misteri penemuan dua mayat dalam Perodua Kancil
Next post Warga emas digesa ambil suntikan vaksin Influenza
Ubah saiz-+=