Sorting by

×

MBMB ANTARA EMPAT BANDARAYA CAPAI TAHAP KEDUA BANDAR PINTAR MALAYSIA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 28 Oktober – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerima penarafan Developing Smart City 2025 hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif ke arah pembangunan bandar pintar di Melaka.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Perasmian Hari Perancangan Bandar Sedunia, Kongres Perancangan Kebangsaan dan MyCity Expo 2025 di Dewan Sri Santan, Putrajaya, hari ini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, berkata penarafan itu meletakkan MBMB sebagai antara empat bandaraya di Malaysia yang berjaya mencapai tahap kedua dalam Program Bandar Pintar Malaysia (Smart City Malaysia), bersama Putrajaya, Johor Bahru dan Shah Alam.

“Penarafan ‘Developing Smart City’ ini merangkumi 35 indikator menilai aspek pembangunan dan penyelarasan sistem bandar pintar merentas sektor ekonomi, sosial, alam sekitar dan tadbir urus,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut beliau, antara indikator utama ialah pelaksanaan data terbuka perkhidmatan bandar, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa ke tenaga (waste-to-energy), sistem tempahan awam digital, buku rekod kesihatan komuniti digital, serta penyediaan sistem internet bersepadu di kawasan bandar.

“MBMB kini sedang membangunkan ekosistem data serta sistem interaktif untuk memperkukuh perancangan bandar pintar.

“Kami juga telah menyediakan ‘framework’ pembangunan bandar pintar sehingga tahun 2035 bagi memastikan hala tuju ke peringkat ketiga, iaitu Leading Smart City, dapat dicapai,” katanya.

Tambah Shadan, pencapaian itu turut melayakkan MBMB menerima geran khas daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai dorongan untuk meneruskan inisiatif bandar pintar.

Dalam majlis sama, MBMB turut menerima Anugerah Bandar Paling Mampan 2025 bagi Kategori Bandaraya yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu kepada Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post GERBANG PANTUN MELAKA HIMPUN LEBIH 10,000 RANGKAP PANTUN
Next post MPJ TERIMA PENARAFAN BANDAR PINTAR 2025