MBMB bersama dua PBT sertai misi bantuan banjir ke Selangor

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 24 Dis – Kira-kira 80 ahli Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) digerakkan ke tiga kawasan di Selangor yang terjejas teruk akibat banjir bagi menyampaikan bantuan.

Timbalan Presiden MALA Datuk Zainal Abu berkata, misi khas ini membabitkan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Port Dickson dan Majlis Perbandaran Kemaman.

Beliau berkata, misi khas ini akan menuju ke tiga lokasi yang terjejas antaranya di Taman Sri Muda, Shah Alam dibawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“MBMB hari ini dibawah entiti MALA digerakkan ke misi khas untuk menyampaikan 200 dapur gas mudah alih bersama cerek dan beberapa barangan keperluan lain termasuk baju kanak-kanak serta perkakas pembersihan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.

“Manakala dua lagi PBT yang terbabit juga membawa barangan keperluan lain untuk diagihkan kepada mangsa banjir ini. Melalui entiti MALA ini saya dapat lihat kita mempunyai semangat luar biasa contohnya MPK walaupun Kemaman turut terkesan dengan banjir mereka tetap bersama-sama membantu misi ke Sri Muda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis pelepasan ‘Flag Off’ Misi Bantuan Pasca Banjir ke Shah Alam, Klang dan Subang Jaya di Dataran MBMB, hari ini.

Zainal yang juga Datuk Bandar MBMB berkata, selain misi penyampaian sumbangan ini, warga MBMB bersama entiti MALA yang lain akan berkumpul di masjid di Taman Sri Muda pada 31 Dis ini bagi bergotong royong menyediakan makanan kepada mangsa banjir.

“Pada hari itu nanti kita akan menyediakan makanan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan malam untuk kira-kira 400 mangsa banjir.

“Untuk kedua-dua program ini kita membelanjakan kira-kira RM50,000 dan walaupun hari ini bantuan sudah digerakkan namun kita masih lagi menjalankan kutipan sumbangan untuk diagihkan nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

802
Kongsi :
Previous post Hujan, ribut petir dijangka berlaku di Melaka dan empat negeri, hari ini
Next post Padah tunggang motosikal lawan arus, lelaki maut dirempuh kereta
Ubah saiz-+=