
MBMB MAHU CARI KESEPAKATAN BERSAMA PENJAJA DALAM ISU ‘EYE ON’
KOTA LAKSAMANA 23 Jun – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mahu mencari kesepakatan bersama penjaja kecil bagi penyelesaian berhubung isu kebersihan di kawasan ‘Eye On’.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, sehubungan itu pihaknya bersedia mengadakan perbincangan bersama kumpulan penjaja kecil berkenaan berhubung cadangan penempatan baharu mereka.
Shadan berkata, pihaknya lebih selesa untuk menyelesaikan perkara itu secara ‘menang-menang’ tanpa meminggirkan pendapat dan pandangan penjaja terlibat.
“Kami tidak pernah menghalang penjaja kecil untuk menjalankan perniagaan, malahan mereka berniaga secara percuma, tetapi fokus utama atau apa yang mahu ditegaskan MBMB dalam hal ini adalah berkaitan isu kebersihan serta keselamatan.
“Notis peringatan kepada semua penjaja telah dikeluarkan, tetapi setakat ini mereka tidak dikenakan sebarang kompaun. Notis cuma bertujuan untuk memaklumkan kepada penjaja bahawa kawasan terbabit tidak lagi sesuai untuk aktiviti perniagaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut Shadan berkata, cadangan penempatan semula peniaga ke lokasi lain seperti Uptown Tun Teja dan Pahlawan Walk antara yang dilihat sesuai bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Menurut Shadan, pihaknya terbuka mendengar pandangan daripada penjaja termasuk cadangan lokasi lain yang mungkin dirasakan sesuai selain cadangan daripada MBMB.
“Jika ada lokasi lain yang lebih selamat dan sesuai MBMB sedia untuk mempertimbangkannya. Kami bertindak selepas menerima aduan daripada orang awam dan pemilik hartanah yang berasa kurang senang dengan persekitaran ‘Eye On’ selepas penjaja selesai menjalankan perniagaan.
“Malah selepas jalan perhubungan dari Klebang melalui The Sail dibuka berlaku peningkatan penjaja. Dianggarkan dari The Sail hingga ke Eye On sekarang ini sudah ada 30 orang penjaja.
“Kawasan tersebut telah menjadi laluan aktif selepas laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan di Kota Syahbandar itu dibuka, namun kewujudan aktiviti perniagaan di pinggir jalan dilihat menjejaskan lalu lintas serta aspek keselamatan pengguna,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.